Jumaat, 22 Jun 2018 | 7:15pm

Siasatan 1MDB kompleks

KUALA LUMPUR: Siasatan yang dilakukan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah kompleks, tetapi berjalan dengan baik dan lancar, kata Jawatankuasa Siasatan 1MDB.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Talib Othman, berkata kertas siasatan awal sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi pertimbangan dan arahan lanjut.

Bagaimanapun, ketika diminta perjelaskan mengenai apakah cadangan dan dakwaan yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, beliau berkata, dakwaan dan tangkapan bukan di bawah bidang kuasanya.

"Anda perlu bertanya kepada Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan beberapa ahli jawatankuasa siasatan 1MDB di Menara Ilham, di sini, hari ini.

Mengenai usaha pencarian Jho Low, Nik Faisal dan pihak lain bagi membantu siasatan, beliau berkata: "Kerana itu saya mengatakan siasatan masih berjalan. Ini adalah sesuatu yang kompleks kerana ia membabitkan banyak syarikat."

Beliau berkata, adalah terlalu awal juga untuk mengatakan berapa ramai orang yang mungkin terbabit dengan kes itu.

Jawatankuasa yang ditubuhkan pada 17 Mei lalu itu turut dianggotai Rakan PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman; Rakan Kanan Naqiz & Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar; Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia, Faris Rabidin dan Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kroni, Cynthia Gabriel.

Sementara itu, pada 21 Mei lalu, pasukan khas yang ditugaskan menyiasat secara terperinci kes 1MDB ditubuhkan dan diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Pasukan Khas Siasatan 1MDB itu akan membuat siasatan, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, Datuk S Ambiga, ketika ditemui di menara itu berkata, beliau tidak menemui mana-mana ahli pasukan khas 1MDB.

Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri ketika ditemui, enggan mengulas.

Abu Kassim pula berkata, sebarang perkembangan kes terhadap 1MDB akan didedahkan oleh jawatankuasa itu dan bukannya oleh seorang individu.

Beliau juga berkata, jawatankuasa akan membuat pengumuman jika Jho Low dan Nik Faisal sudah ditemui atau tidak.

19 dibaca
Berita Harian X