Isnin, 25 Jun 2018 | 2:48pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo (tengah) bersama Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Datuk Fauzi Ayob (empat kanan) ketika hadir pada sesi taklimat di FINAS. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

FINAS diberi tempoh dua minggu

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diberi masa selama dua minggu menyediakan laporan berkaitan sistem penyaluran dana kerajaan dalam industri perfileman negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo berkata, wujud keperluan untuk mengkaji semula dana yang disalurkan dan memperbaharui prosedur supaya wang itu digunakan dengan cara terbaik.

"Ramai bakat baru dalam industri perfileman ini yang memerlukan bantuan.

"Kita perlu mempunyai sistem bagi memastikan dana digunakan untuk tujuan yang betul dan tiada ketirisan, " katanya selepas pertemuan tertutup dengan pegawai kanan FINAS, di sini, hari ini.

Gobind berkata, pertemuan dengan Ahli Lembaga Pengarah FINAS dibuat bagi membolehkan semua pihak menikmati faedah diperuntukkan dari perbadanan itu.

Pertemuan seterusnya akan diadakan bersama ahli lembaga pengarah FINAS, persatuan dan karyawan bagi membincangkan hasil laporan, selepas Parlimen bersidang.

"Beberapa pertemuan diadakan dengan semua jabatan di bawah KKMM dan kami banyak membincangkan isu pembiayaan daripada kerajaan.

"Kami juga melihat kelemahan pentadbiran yang perlu diperbetulkan dan wujud keperluan untuk menilai semula organisasi dan keseluruhan struktur jabatan di bawah KKMM.

"Ia termasuklah SKMM, MDEC dan MyNic," katanya.

Mengulas mengenai siasatan SPRM, Gobind berkata, beliau tidak menerima sebarang perkembangan terbaru mengenai kes pembiayaan dana 2017.

"Saya dimaklumkan bahawa kenyataan (dari FINAS) sudah diambil tetapi saya tidak mahu memberi sebarang komen yang akan menjejaskan siasatan," katanya.

Tahun ini, FINAS menerima peruntukan RM36 juta bagi membantu melebarkan industri perfileman negara berbanding RM50 juta pada 2017.

Berita Harian X