Jumaat, 29 Jun 2018 | 11:45am

Dr Mahathir diberikan sambutan negara

JAKARTA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan sambutan negara di Istana Presiden, di Bogor, pagi ini sempena lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.

Ketibaan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, jam 10.10 pagi waktu tempatan, disambut oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan isteri, Iriana Widodo.

Tun Mahathir disambut dengan persembahan kebudayaan tradisonal oleh pelajar sebelum menerima tabik hormat di pentas.

Ia disusuli dengan lagu kebangsaan Malaysia dan Indonesia diikuti 19 das tembakan hormat di Serambi Depan Istana Bogor.

Dr Mahathir kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormat.

Jokowi dan Dr Mahathir memperkenalkan anggota delegasi masing-masing sebelum beredar ke Dewan Teratai untuk menandatangani buku pelawat.

Ini diikuti upacara menanam pokok Meranti oleh Dr Mahathir yang secara simboliknya menandakan keutuhan hubungan dua negara berjiran ini.

Dr Mahathir kemudian mengadakan pertemuan empat mata dengan Jokowi atau dikenali sebagai Veranda Talk di anjung istana - satu konsep perbincangan santai yang diperkenalkan Jokowi ketika menerima ketua negara dan pembesar asing.

TUN Dr Mahathir Mohamad diberikan sambutan negara di Istana Presiden, di Bogor, pagi ini sempena lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.
PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo ketika menyambut ketibaan Tun Dr Mahathir di Istana Presiden di Bogor pagi ini.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X