Jumaat, 29 Jun 2018 | 2:41pm
TUN Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada sidang media di Istana Presiden Bogor. - Foto EPA
TUN Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada sidang media di Istana Presiden Bogor. - Foto EPA

Sepakat tangkis kempen negatif Eropah terhadap minyak sawit

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia hari ini sepakat untuk menangkis kempen negatif Eropah terhadap industri minyak sawit.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sebagai dua negara pengeluar utama komoditi itu, Malaysia-Indonesia perlu bekerjasama melawan kempen Eropah memburukkan industri negara.

"Eksport sawit kini diancam oleh Eropah dan kita perlu bersama melawan hujah mereka kononnya banyak hutan-hutan ditebang dan beri kesan besar kepada cuaca dan alam sekitar," katanya pada sidang media bersama dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, di Istana Presiden Bogor, di sini.

Dr Mahathir sebelum itu diberi sambutan rasmi negara di Istana Presiden sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Indonesia. 

Dr Mahathir berkata, penentangan negara Eropah itu lebih bersifat masalah ekonomi dalam kalangan mereka daripada isu kesan alam sekitar.

Beliau berkata, apa yang sebenarnya berlaku di negara Eropah tidak banyak lagi kawasan yang dilitupi hutan kerana hampir semuanya sudah ditebang.

"Apabila kita perlukan kawasan penanaman sawit lebih besar, mereka menentangnya," katanya.

Sementara itu, Jokowi meminta kerajaan Malaysia menimbangkan permintaan Indonesia menyediakan sekolah untuk anak-anak pekerja negara itu di Semenanjung termasuk di Sabah dan Sarawak. Beliau juga menyentuh keperluan kerjasama bagi menangani isu berkaitan sempadan, tenaga kerja dan pengeluaran kereta bersama.

Berita Harian X