Isnin, 16 Julai 2018 | 12:50pm
S Krishentra Sri (kiri) bersama bapa, S Suganeswaran (dua dari kiri) dan ahli keluarganya ketika dikunjungi pihak Hospital Gleneagles. - Foto Faiz Anuar

Sumbangan Media Prima-NSTP Humanitarian Fund ubah nasib penerima

KLANG: Sepasang suami isteri hampir menjual rumah lima tahun lalu bagi mencari biaya untuk merawat bayi mereka yang menderita injap jantungnya mempunyai dua lubang.

Namun, kehadiran pihak Media Prima-NSTP Humanitarian Fund membawa khabar gembira sekali pun dapat menyelamatkan rumah S Suganeswaran, 37, dan isterinya, P Mhesarubashree, 34, daripada dijual ketika itu.

"Kami tidak pernah terfikir dapat sumbangan ini untuk pembedahan anak kami S Krishentra Sri (5 tahun) oleh orang ramai menerusi Media Prima-NSTP Humanitarian Fund.

"Kami hampir menjual rumah kami untuk menampung kos pembedahan anak kami tetapi akhirnya mereka datang membantu pada saat kami memerlukan. Terima kasih banyak atas bantuan semua," katanya.

Beliau berkata demikian kepada NSTP ketika dikunjungi pihak Media Prima Bhd (MPB) dan Hospital Gleneagles.

Ketika berkongsi kisah lima tahun lalu, Suganeswaran berkata, beliau dan isteri mengalami kesukaran dan tidak mampu kerana kos pembedahan sangat tinggi iaitu hampir mencecah RM48,000.

"Pada mulanya anak kami dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum doktor mencadangkan agar kami mendapatkan rawatan dan menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles.

"Selepas mengadakan temujanji dengan pakar di Hospital Gleneagles, akhirnya dengan sumbangan ini rawatan untuk anak kami dapat dibuat dan pembedahan itu berjaya," katanya.

Kegembiraan menjengah keluarga itu sekali lagi pada 2015, apabila beliau, isteri dan seluruh keluarga dimaklumkan oleh doktor yang mengesahkan anak kedua dari tiga beradik itu sihat sepenuhnya.

"Anak kami sekarang seperti kanak-kanak normal yang lain, dia sangat aktif dan tiada sebarang masalah kesihatan.

"Ini tidak akan berlaku tanpa bantuan doktor dan orang ramai yang menyumbang menerusi Media Prima-NSTP Humanitarian Fund, ...kami sangat berterima kasih dan menghargainya," katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau sekeluarga sangat berharap agar orang ramai untuk terus menghulurkan sumbangan kepada tabung berkenaan agar lebih ramai anak-anak yang menderita dan insan yang memerlukan dibantu sebagaimana yang diterima mereka sekeluarga.

"Orang ramai perlu tahu dan sedar kewujudan tabung ini. Rakyat Malaysia perlu bersama-sama menyumbang kepada tabung ini.

"Sumbangan ini penting dan boleh digunakan untuk membantu insan memerlukan, terutamanya yang menghadapi masalah kewangan untuk merawat ahli keluarga yang sakit seperti anak kami dulu," katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu kes-kes baharu sumbangan boleh disalurkan kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund menerusi akaun Maybank 5141-0532-3170 ata melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek tersebut dan hendaklah dihantar ke Media Prima Bhd, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Tingkat 3, Anjung Liku Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Berita Harian X