Sabtu, 21 Julai 2018 | 3:26pm
AHMAD Amzad Hashim

'Kena pinda perjanjian 1975'

KUALA LUMPUR: Perjanjian antara PETRONAS dan kerajaan negeri pada 1975 mengikut Seksyen 4 Akta Petroleum 1974 perlu dipinda jika pembayaran royalti minyak dibuat berdasarkan peratusan keuntungan seperti dinyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu dari PAS, Ahmad Amzad Hashim berkata, jika pembayaran dibuat berdasarkan peratusan keuntungan, perlu ada pembabitan kerajaan negeri dalam pengurusan syarikat.

"Saya berterima kasih apabila Perdana Menteri ketika menjawab soalan Yang Berhormat Rantau Panjang (Siti Zailah Mohd Yusoff) (pada sidang Dewan Rakyat Khamis lalu) mengulangi komitmen pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang mengeluarkan minyak.

"Kekeliruan timbul apabila Perdana Menteri menyebut royalti sebagai peratus dari keuntungan. Pertama, kerana ia definisi royalti yang luar dari kebiasaan apabila mengaitkan bayaran royalti dengan akaun untung rugi perusahaan aset yang diberi hak untuk mengusahakan dalam keadaan pemunya hak aset berkenaan tiada bahagian dalam pengurusan, pentadbiran, malah akaun untung rugi perusahaan berkenaan.

"Biasanya untuk aturan begitu, ia tidak disebut royalti. Ia disebut perkongsian keuntungan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), semalam menjelaskan 20 peratus yang diberikan kepada syarikat pengeluar minyak adalah royalti daripada keuntungan yang diperoleh daripada negeri masing-masing.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, perjanjian antara PETRONAS dan Kerajaan Terengganu ada menyebut dengan jelas bahawa bayaran kepada kerajaan negeri adalah peratus dari pengeluaran.

Sehubungan itu, beliau menganggap Dr Mahathir tersasul dalam menjelaskan isu royalti minyak seperti mana Perdana Menteri tersasul antara Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dalam satu soal jawab dengan wartawan.

"Saya harap begitulah (tersasul). Jika tidak, kena buat pindaan perjanjian 1975 yang perlu pula ada pembabitan negeri dalam pengurusan jika mahu negeri terbabit sama dalam soal untung rugi.

"Saya memandangnya secara 'bona fide', niat baik dari Perdana Menteri ini dan semoga segalanya baik untuk rakyat dan negara.

"Terutamanya kepentingan Terengganu yang begitu lama diperlakukan secara tidak adil oleh Barisan Nasional dalam soal hasil petroleum dari bumi Terengganu," katanya.

Berita Harian X