Selasa, 24 Julai 2018 | 7:03pm
DR Mohd Fauzi Shaffie. - Foto NSTP

DEB kekal relevan

KUALA LUMPUR: Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah polisi inklusif yang pertama diwujudkan dengan matlamat membasmi kemiskinan, progresif, dinamik dan selaras dengan hak asasi manusia.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Dr Mohd Fauzi Shaffie, berkata terdapat dua teras dalam DEB yang memberi tumpuan terhadap usaha membasmi jurang kemiskinan antara kaum dan menyusun struktur ekonomi dalam usaha memastikan Bumiputera dapat memainkan peranan dalam ekonomi moden.

Selaku pertubuhan yang memberi fokus terhadap kedaulatan Islam, kepentingan Melayu dan pengekalan institusi diraja, katanya, tanpa polisi afirmatif berkenaan, JATI percaya Melayu dan Bumiputera selama-lamanya tidak akan dapat peluang dan ruang dalam sektor ekonomi.

Jika tidak diberi ruang, katanya Melayu dan Bumiputera akan ketinggalan selama-lamanya kerana DEB adalah polisi yang tidak ditelan zaman, malah relevan hingga hari ini.

"DEB berjaya memulakan gerak ke arah perwujudan keadilan ekonomi di Malaysia apabila kadar kemiskinan negara dikurangkan kepada 17.1 peratus pada 1990 berbanding 49.3 peratus pada 1970. Kadar Kemiskinan pada 2014 pula terus turun ke tahap 0.6 peratus.

"Ketika DEB mula dilaksana, kemiskinan dalam kalangan masyarakat Melayu berada pada paras 64.8 peratus. Profesional Melayu ketika itu hanya 4.9 peratus (225 orang) berbanding bukan Melayu, 84.3 peratus (3,859 orang).

"Pada 1995, profesional Melayu meningkat kepada 31.1 peratus, manakala kaum Cina, 52.4 peratus. Pada akhir 2002 pula, profesional Melayu secara puratanya meningkat kepada 39 peratus dan 42.5 peratus pada 2008," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Selepas penamatan DEB, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pula diperkenalkan pada 1991 hingga 2000 dengan meneruskan beberapa dasar utama DEB.

Malaysia tidak memperkenalkan apa-apa dasar ekonomi utama selepas DEB ditamatkan kecuali meneruskan polisi atau dasar DEB melalui DPN, sehinggalah pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) pada Mac 2010.

Mengulas mengenai pelaksanaan MEB, Mohd Fauzi yang juga bekas Pengurus Besar Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) berkata polisi menumpukan peningkatan produktiviti pekerja yang bertujuan membantu meningkatkan pendapatan bagi merealisasikan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi.

Katanya, kedudukan ekonomi rakyat pada hari ini menunjukkan 75 peratus daripada rakyat tidak mampu mengeluarkan wang RM1,000 dalam keadaan mendesak.

Dalam masa sama, katanya, lebih daripada 50 peratus rakyat pula akan kehabisan wang dalam masa seminggu selepas kehilangan sumber pendapatan yang menyaksikan 80 peratus daripadanya adalah Bumiputera.

"Selepas tiada lagi DEB, jurang pendapatan isi keluarga antara Bumiputera dan bukan Bumiputera meningkat pada kadar yang membimbangkan sekitar 1995.

"Contohnya, pada 1995 jurang pendapatan isi rumah Bumiputera dan Cina adalah RM10,000 setahun, dan kini, ia meningkat tiga kali ganda kepada sekitar RM30,000 setahun.

"Maka, apa-apa keputusan kerajaan dalam pembentukan dasar ekonomi negara harus mengambil kira data berkenaan," katanya.

Berita Harian X