Rabu, 25 Julai 2018 | 12:48pm
MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman . - Foto BERNAMA

CEP tidak langkau kuasa kerajaan

KUALA LUMPUR: Setiap tindakan dan keputusan dibuat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) perlu mendapat keputusan Perdana Menteri dan tidak melangkaui bidang kuasa yang diperuntuk kerajaan kepada majlis itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata dakwaan mengatakan CEP mempunyai kuasa membuat keputusan sendiri membelakangi kerajaan juga tidak timbul kerana peranannya hanya menasihat Kabinet selama 100 hari.

"Setiap tindakan dan keputusan dilakukan CEP tidak boleh diluluskan sendiri. Contohnya, apabila keputusan untuk menghantar Tun Daim Zainuddin berunding sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri ke China, prosedur yang perlu dilakukan adalah memaklumkan anggota Kabinet dan mendapat persetujuan Perdana Menteri.

"Tidak ada isu anggota CEP lebih berkuasa daripada Kabinet dan CEP ini tidak berupaya untuk bertindak sesuka hati dan melangkaui bidang kuasa yang diperuntukkan.

"Bidang kuasa CEP pula hanya menasihat Perdana Menteri dan anggota Kabinet. Jika nasihat yang diberi itu dirasakan tidak sesuai, anggota Kabinet berhak menolak atau meminta penambahbaikan kepada cadangan dan nasihat daripada CEP.

"Harus diingat tempoh kuasa diberi kepada CEP menasihat Kabinet adalah hanya 100 hari. Sepanjang 100 hari, banyak nasihat dan cadangan dibawa CEP kepada kerajaan. Tidak ada isu atau masalah pertindihan kuasa yang pernah dilakukan CEP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq mengulas gesaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mencadangkan di Dewan Rakyat semalam supaya CEP dibubarkan atas alasan majlis itu bertindak melangkaui bidang kuasa dan demi menjaga akauntibiliti Kabinet.

Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, pelantikan ahli CEP berlandaskan kepada meritokrasi dan pengalaman mentadbir.

Katanya, Professor Jomo KS berpengalaman luas dalam pembangunan ekonomi dan Institut Penyelidikan Pembangunan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) manakala Daim adalah bekas Menteri Kewangan dan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bekas Gabenor Bank Negara Malaysia selama 16 tahun serta pernah dicadangkan menjadi Pengerusi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Saya amat berbangga apabila kerajaan menghargai usaha tokoh tempatan untuk terus berbakti daripada menggaji konsultan asing dengan puluhan ribu ringgit wang rakyat.

"Ini seharusnya dijadikan iktibar kepada kita bahawa ramai anak watan yang layak dan sedia berbakti kepada negara tanpa mengira usia dan harta. Saya percaya rakyat Malaysia akan menilai prestasi CEP dengan telus dan adil," katanya.

27 dibaca
Berita Harian X