Rabu, 25 Julai 2018 | 5:23pm
DEWAN Rakyat pada sesi petang ketika Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Nampak macam kami balik lepas rehat...'

KUALA LUMPUR: Sehari selepas ketidakcukupan korum membuatkan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan seketika semalam, beberapa Ahli Parlimen hari ini memberi justifikasi terhadap keadaan itu.

Sejurus sesi disambung pada jam 2.32 petang bagi meneruskan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) memohon kebenaran Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, untuk mencelah.

Selepas diberi laluan, Rayer membangkitkan laporan sebuah akhbar tempatan berhubung isu kelewatan Ahli Parlimen memasuki dewan yang disiarkan di muka depan.

"Laporan ini menyinggung perasaan Ahli Parlimen kerana ia mempersoalkan ke mana perginya semua wakil rakyat.

"Ini tidak memberi imej yang baik dan tidak mencerminkan apa sebenarnya yang berlaku.

"Apa yang ada (laporan) seolah-olah selepas rehat kami telah balik dan ini adalah perkara yang tidak adil kepada saya dan semua rakan yang hadir di sini," katanya.

Rayer menyebut, usul penangguhan Dewan Rakyat semalam dibangkitkan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BEBAS-Bagan Serai), sekali gus mendorong Dr Noor Azmi bangun meminta penjelasan.

Datuk Ismail Mohd Said (BN-UMNO Kuala Krau) yang mencelah berkata, loceng memanggil mesyuarat dibunyikan pada 2.30 petang selama dua minit.

"Pada jam 2.32 petang, Yang Berhormat Kapit (Datuk Alexander Nanta Linggi )

bangun (memohon sidang ditangguhkan seketika) dan bukan Yang Berhormat Bagan Serai.

"Ini bukti Yang Berhormat lain termasuk Yang Berhormat Jelutong tiada dalam Dewan," katanya.

Mohamad Ariff berkata, kelewatan hanya membabitkan penangguhan enam minit.

"Yang Berhormat semua maklum kelewatan itu kerana mereka terbabit dalam satu mesyuarat," katanya.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen termasuk menteri memberi alasan tersendiri sebagai justifikasi kelewatan memasuki Dewan Rakyat semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata perkara sama pernah berlaku pada persidangan penggal sebelum ini.

"Tengoklah dalam beberapa sesi (sidang Dewan Rakyat) lalu, orang (Ahli Parlimen lain) boleh tahu siapa (Ahli Parlimen) yang sengaja tak datang," katanya ketika ditemui di Lobi Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, beberapa Ahli Parlimen dikatakan menghadiri taklimat yang berakhir selepas waktu makan tengah hari semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata kebanyakan Ahli Parlimen kerajaan menghadiri taklimat semalam.

"Ketika sidang bersambung jam 2.32 petang, Ahli Parlimen Kapit bangun membangkitkan sama ada mesyuarat cukup korum dan kiraan mendapati ada 15 Ahli Parlimen ketika itu.

"Kiraan semula pada jam 2.36 petang mendapati korum mencukupi dengan 35 Ahli Parlimen," katanya.

Berita Harian X