Khamis, 26 Julai 2018 | 2:00pm
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Bangunkan tanah pertanian bersama

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu bekerjasama membangunkan tanah pertanian bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) rakyat, sekali gus mengatasi isu keselamatan makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, berkata ketika ini, kerajaan negeri dilihat lebih berminat membangunkan tanah dalam bidang industri berbanding pertanian.

"Kita mendapati kerajaan negeri lebih berminat menjual tanah kepada pihak industri bagi membangunkan kilang dan projek perumahan.

"Justeru, kita berharap kerajaan negeri memperuntukkan tanah mereka kepada sektor pertanian bagi menurunkan kos sektor itu dan pada masa sama, mencapai SSL yang mapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan ke arah meningkatkan keselamatan makanan negara.

Tze Tzin berkata, bil import makanan negara ketika ini berjumlah RM19.4 bilion setahun dan berdepan masalah keseimbangan dagangan yang tinggi.

"Bagi mencapai SSL yang tinggi, pelaburan terhadap sektor pertanian harus ditingkatkan.

"Sebagai contoh, kalau kita mewujudkan jelapang padi baharu, pelaburannya agak besar bagi menyediakan perparitan, saliran, subsidi baja dan pelbagai bantuan lain untuk petani serta pesawah.

"Ini dilema dihadapi untuk mencapai SSL tinggi kerana kosnya agak besar, maka lebih baik kita import. Isu ini perlu diimbangi," katanya.

Berita Harian X