Jumaat, 27 Julai 2018 | 5:11pm

NGO mahu mufti berani bersuara

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan dan Badan Penyelaras NGO Islam Malaysia (M'TN) meminta golongan mufti di negara ini lebih berani bersuara dalam isu yang menyentuh sensitiviti dan kepentingan Islam.

Penyelarasnya, Yahya Along Ali, berkata mufti seharusnya perlu lebih banyak memberikan pendapat dan pandangan berikutan mereka dilihat sebagai tempat rujukan umat Islam di negara ini.

"Apabila ada isu membabitkan agama, kita mahu mufti lebih berani bersuara, kita tidak mahu mereka bertindak hanya sebagai pegawai di jabatan agama yang mendengar saja arahan ketua.

"Isu seperti gejala zina, seks bebas, minum arak, perjudian, transgender atau LGBT dan pembuangan bayi semakin berleluasa, perkara ini tidak seharusnya berlaku jika ada pihak berwajib memantau serta mengambil tindakan.

"Mufti adalah golongan yang tinggi, mereka boleh mengeluarkan fatwa, jadi kita mahu melihat mereka lebih vokal," katanya kepada media selepas mengadakan himpunan di perkarangan Masjid Negara, hari ini.

Himpunan disertai 30 badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang diadakan selepas selesai solat Jumaat itu bertujuan menggesa kerajaan dan pembangkang supaya sepakat dalam isu membabitkan kepentingan Islam.

Yahya berkata, M'TN membawa suara rakyat kepada kerajaan supaya perkara ini dipandang serius demi kepentingan agama Islam yang mana semua pihak harus mengasingkan ideologi masing-masing.

MUSTAFA Said melaongkan " Takbir " pada Himpunan Rakyat anjuran Majlis Tindakan dan Badan Penyelaras NGO Islam Malaysia MTN di Masjid Negara. - Foto Yusni Ariffin
MUSTAFA Said melaongkan " Takbir " pada Himpunan Rakyat anjuran Majlis Tindakan dan Badan Penyelaras NGO Islam Malaysia MTN di Masjid Negara. - Foto Yusni Ariffin
PENGERUSI NGO, AlifBaTa Srikandi Masyhur berucap pada Himpunan Rakyat anjuran Majlis Tindakan dan Badan Penyelaras NGO Islam Malaysia MTN di Masjid Negara. - Foto Yusni Ariffin
PENGERUSI NGO, AlifBaTa Srikandi Masyhur berucap pada Himpunan Rakyat anjuran Majlis Tindakan dan Badan Penyelaras NGO Islam Malaysia MTN di Masjid Negara. - Foto Yusni Ariffin
Berita Harian X