Jumaat, 27 Julai 2018 | 9:23pm
DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah. - Foto NSTP

Siasat NGO sokong LTTE

KUALA LUMPUR: Tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyamakan tindakan kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) dengan perjuangan Palestin adalah keterlaluan kerana memberi tafsiran yang salah.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Malaysian Tamillan Today, N Shanmugam, itu boleh memesongkan pemahaman orang ramai terhadap LTTE.

Justeru, katanya, UMNO mendesak kerajaan mengkaji semula mengenai penubuhan NGO terbabit yang dilihat sebagai ancaman keganasan terhadap rakyat.

"Rakyat Palestin ditindas di negara sendiri, berlainan dengan LTTE yang ingin membina wilayah sendiri di dalam sebuah negara berdaulat, sedangkan mereka adalah rakyat Sri Lanka.

"UMNO mengutuk keras kenyataan Shanmugam dan mendesak rakyat Malaysia serta umat Islam menolak pendirian NGO ini.

"Perlu diingat asas perjuangan LTTE yang diasaskan oleh Vellupillai Prabhakaran pada tahun 1976 ialah bagi menuntut kerajaan Sri Lanka memberi autonomi di wilayah timur laut negara itu, atau sebuah negara merdeka bagi orang Tamil.

"LTTE melancarkan serangan gerila dan membunuh ramai orang awam yang tidak berdosa serta merosakkan harta benda awam dalam memperjuangkan tuntutannya.

"Dalam erti kata lain, mereka mahukan sebuah negara untuk orang Tamil di dalam sebuah negara merdeka, serta menentang kerajaan Sinhala di Colombo," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Shamsul Anuar juga berkata situasi penduduk Palestin berlainan kerana mereka menerima pendatang Yahudi namun kemudian bumi itu dirampas regim zionis.

"Janganlah jadikan Palestin sebagai asas untuk menyokong pertubuhan pengganas LTTE. Buatlah kajian sejarah terlebih dahulu.

"Jadi, berhati-hatilah apabila mengeluarkan kenyataan. Kita bimbang pendirian sebegini akan mewujudkan suasana tidak baik kepada rakyat dalam negara ini," katanya.

Berita Harian X