Ahad, 5 Ogos 2018 | 12:42am
MASZLEE Malik (tengah), berswafoto bersama pelakon Remy Ishak dan Erwin Dawson pada tayangan amal filem 'Pulang' anjuran PINTAR Foundation di Starling Mall. - Foto Mahzir Mat Isa

Belajar daripada 'Pulang'

KUALA LUMPUR: Masyarakat berbilang bangsa digalakkan menonton filem 'Pulang' kerana ia memperlihatkan ciri bahasa Melayu standard yang boleh dipelajari oleh anak kecil.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ia umpama filem 'Titanic' versi Melayu dan patut menjadi mercu tanda bagi filem tempatan lain memandangkan bahasa digunakan adalah bahasa standard.

Selain itu, katanya, ia juga memperlihatkan sosio ekonomi dan budaya dari kalangan orang Melayu.

"Penonton boleh belajar dan mendapat pengajaran terbaik (daripada filem ini). Selain itu, penceritaan filem ini juga dilihat mampu menarik perhatian khususnya anak muda bagi menghidupkan imaginasi mimpi mereka dan seterusnya mendorong untuk berjaya pada masa hadapan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas tayangan amal filem 'Pulang' di MBO Cinemas, Starling Mall di sini, malam ini.

Tayangan amal anjuran Yayasan Pintar itu bertujuan membiayai program intervensi pendidikan pelajar kurang bernasib baik.


MASZLEE Malik (tiga dari kiri), Pemegang Amanah PINTAR, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar (lima dari kiri), Datuk Seri Siti Nurhaliza (kanan) dan tetamu, hadir pada tayangan amal filem 'Pulang' anjuran PINTAR Foundation di Starling Mall. - Foto Mahzir Mat Isa

Yang turut hadir, Ahli Pemegang Amanah Yayasan PINTAR, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan PINTAR, Karimah Tan Abdullah; CEO Primework Studios, Datuk Ahmad Izham Omar bersama bapanya, Omar Othman; Ketua Pegawai Komersial (CCO) NSTP, Alfian Talib.

Selain itu, 25 kanak-kanak dan tiga penjaga dari Rumah Kebajikan Kanak-kanak Lighthouse Children Welfare Home, Bangsar, turut diberi peluang menonton tayangan filem itu.

Maszlee berkata, usaha dilakukan oleh Yayasan PINTAR dengan memberi peluang kepada anak kurang bernasib baik menonton filem itu juga dianggap sebagai langkah positif sebagai inspirasi memperbaiki kehidupan mereka.

Beliau berharap syarikat lain akan melakukan usaha yang sama bagi membantu anak kurang bernasib baik.

"Kerja amal, bukan saja menerusi filem, malah boleh dilakukan menerusi perlawanan sukan, malah penerbit filem juga boleh hasilkan lebih banyak cerita seperti ini bagi menyemarakkan jiwa masyarakat," katanya.

29 dibaca
Berita Harian X