Ahad, 5 Ogos 2018 | 5:24pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye melawat gerai jualan amal pada majlis perasmian Sambutan 25 Tahun Pertubuhan Talasemia di Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Skim insurans kesihatan bantu B40

IPOH: Kementerian Kesihatan akan membentangkan kertas cadangan skim insurans untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan dan swasta.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye, berkata kementerian kini di peringkat akhir merangka pelan pelaksanaan skim itu sebelum dibentangkan pada Bajet 2019, Oktober ini.

"Skim insurans kesihatan ini akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Kita akan memulakan pelaksanaan bagi B40 kerana golongan itu meliputi 60 hingga 70 peratus populasi di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 25 Tahun Pertubuhan Talasemia di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik cadangan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, supaya sistem insurans kesihatan wajib kepada rakyat.

Dr Boon Chye berkata, skim insurans kesihatan memungkinkan kadar minimum antara RM10,000 hingga RM20,000 setahun diberi untuk setiap keluarga, merangkumi perbelanjaan perubatan dan caj rawatan apabila ditempatkan di wad.

"Kita juga bercadang memberi subsidi skim itu kepada golongan berkenaan," katanya.

Berita Harian X