Isnin, 6 Ogos 2018 | 5:47pm
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad (SMKDA), Lenggong mengibarkan Jalur Gemilang pada pelancaran bulan kemerdekaan. - Foto Dj Dolasoh
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad (SMKDA), Lenggong mengibarkan Jalur Gemilang pada pelancaran bulan kemerdekaan. - Foto Dj Dolasoh

600 pelajar, guru SMKDA sambut program bulan merdeka

LENGGONG: Seramai 600 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad (SMKDA) Lenggong, di sini, menyambut pelancaran Program Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah itu, pagi tadi.

Pelancaran disempurnakan Pengetuanya, Nordin Kamarudin di Astaka Anjung Perwira bertujuan menyemarakkan Bulan Kemerdekaan negara ke-61.

Program dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku, Negeri Perak, doa dan ikrar rukun negara sebelum acara perasmian yang diserikan dengan bacaan sajak patriotik oleh tiga pelajar dan seorang guru.

Beberapa lagu patriotik turut dinyanyikan beramai-ramai sebelum diakhiri laungan 'merdeka' sebanyak tujuh kali diketuai Nordin.

Nordin berkata, pelancaran bulan kemerdekaan itu penting, terutama kepada generasi baharu bagi menyemai semangat patriotik sejak di bangku sekolah.

"Generasi baharu mesti diberi kesedaran dan mereka patut disemai semangat patriotik bagi memupuk rasa kecintaan tinggi terhadap negara ini.

"Kita bimbang, jika semangat patriotik ini sudah tiada dalam sanubari mereka, ia akan memberi impak negatif pada masa depan negara dan bangsa," katanya ketika ditemui selepas pelancaran itu.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah berkenaan, Zubaidah Yasin, berkata berpuluh acara membabitkan pelajar dan guru diadakan bagi mengisi bulan kemerdekaan itu.

Antaranya, pertandingan menghias kelas merdeka, menulis esei patriotik, sajak patriotik dan konvoi merdeka ke kampung terpilih di daerah itu.

Berita Harian X