Selasa, 7 Ogos 2018 | 4:55pm
TIMBALAN Presiden ASAS, Ghazali Bujang (tengah) menunjukkan memorandum bantahan pada sidang media di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nik Hariff Hasan
TIMBALAN Presiden ASAS, Ghazali Bujang (tengah) menunjukkan memorandum bantahan pada sidang media di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nik Hariff Hasan

ASAS hantar memo bantah UEC

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) membantah cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan mendesak kerajaan mempertahankan sistem pendidikan sedia ada.

Timbalan Presiden ASAS, Ghazali Bujang berkata, bagi menzahirkan perkara itu, ASAS akan menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, esok.

Beliau berkata, kerajaan perlu memartabatkan bahasa Melayu menerusi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ia adalah asas pendidikan negara dalam menyatupadukan masyarakat berbilang bangsa.

“ASAS berpendirian kerajaan mahupun Kementerian Pendidikan tidak sewajarnya melayan tuntutan pengiktirafan UEC atas kepentingan politik sempit dan rasis pihak yang menuntut.

”Sistem Pendidikan Kebangsaan menetapkan bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa pengantar utama dan semua jenis sekolah menggunakan sistem penilaian pendidikan (peperiksaan) sama bertujuan untuk membina jati diri warganegara yang utuh.

“Pengiktirafan terhadap UEC akan menggagalkan usaha kerajaan itu, ” katanya pada sidang media di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Ghazali berkata, ASAS juga bersependapat dengan tokoh budayawan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong yang turut menolak pengiktirafan UEC.

“Mereka menganggap yang membawa isu UEC adalah ‘penderhakaan kepada rakyat’ dan ‘jahil mengenai perlembagaan Malaysia’.

“Pengiktirafan terhadap UEC boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum lain yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, sekali gus akan menyaksikan perpaduan negara sukar untuk dipertahankan lagi,” katanya.

Isu UEC timbul apabila Maszlee pada 15 Julai lalu menyatakan Kementerian Pendidikan sedang mengkaji untuk mengiktiraf sijil itu bagi memenuhi janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 Pakatan Harapan.

Berita Harian X