Khamis, 9 Ogos 2018 | 2:47pm

SPR tidak akan diganggu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini mengkaji dan meneliti cadangan penambahbaikan pilihan raya, sejajar usaha memulihkan integriti sistem dan prosesnya pada masa akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin, berkata jika dilaksanakan, cadangan pembaharuan itu akan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan pilihan raya.

Katanya, proses itu memerlukan libat urus pelbagai pihak dan pengemaskinian, manakala prosesnya memerlukan tempoh bersesuaian untuk dinilai secara terperinci.

“Jawatankuasa institusi itu turut memberi cadangan menambah baik proses pilihan raya melalui laporan yang disediakan.

“Laporan akan diberi kepada pihak berkepentingan selepas dibincang dan dipertimbang oleh jemaah menteri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Khoo Poay Tiong (PH-DAP Kota Melaka) berhubung merujuk langkah kerajaan dan SPR untuk memulihkan proses pilihan raya negara.

Mohamed Hanipa turut memuji keupayaan SPR menguruskan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan,

Katanya, SPR bertindak profesional dalam melaksanakan tugas mereka walaupun sering dikritik sebagai tidak telus, bebas dan adil.

“Tuan Yang Dipertua, saya mengambil kesempatan untuk menyatakan walaupun sebelum PRU lalu kita banyak mendengar keluhan dan kritikan terhadap SPR.

“Alhamdullilah, dengan sikap profesional mereka, kita berjaya berada di Dewan yang mulia ini dan mendapat kerajaan baharu.

“Kita ucapkan tahniah kepada SPR,” katanya.

Kepada soalan tambahan Poay Tiong sama ada kerajaan akan menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal bagi tujuan persiapan semua pihak, Mohamed Hanipa berkata, belum ada keputusan dibuat mengenai perkara itu.

“Kita tidak akan ganggu tugas SPR dan memberi autonomi sebagai badan bebas yang dijamin oleh Perlembagaan supaya mereka boleh jalankan tugas tanpa memihak, bersih dan adil.

“Sekarang Malaysia Baharu, kita akan pastikan pilihan raya yang adil,” katanya.

Berita Harian X