Jumaat, 10 Ogos 2018 | 1:55pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (tiga dari kanan) bersama pengasas Yayasan Pink Ribbon Wellness (L), Datuk Dr Devanand (dua dari kiri) dan Yayasan Patron Pink Ribbon Wellness (L), Puan Seri Maniseh Adam bergambar ketika Persidangan Terapi dan Sokongan Kanser Payudara di Nexus, Bangsar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pelan perlindungan perubatan percuma B40

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mensasarkan pelan perlindungan perubatan percuma bagi kategori golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), akhir tahun ini.

Setakat ini sebanyak 30 peratus daripada penduduk sudah mempunyai insurans kesihatan perubatan dengan 15 peratus membeli pelan perubatan sendiri, manakala antara 10 dan 15 peratus dilindungi majikan masing-masing.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata, perlindungan insurans kesihatan sosial akan dilaksanakan terhadap semua rakyat Malaysia bermula daripada kumpulan B40.

“Sekiranya kita dapat menyediakan pelan perlindungan kepada kelompok B40, sebahagian besar daripadanya akan mempunyai beberapa jenis insurans kesihatan dan apabila ia dilaksanakan, kita akan dapat menyediakan pelan perlindungan kepada semua rakyat.

“Kementerian akan membuat perincian mengenai sumber kewangan untuk membiayainya. Antara contoh pelan perlindungan yang dicadangkan ialah perlindungan minimum RM10,000, sekali gus hanya memerlukan pembayaran premium yang rendah,

“Namun kementerian perlu membincangkan perkara ini dengan pihak berkepentingan sebelum cadangan itu dibentangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Terapi dan Sokongan Kanser Payudara di sini, hari ini.

Turut hadir pada persidangan tiga hari bermula hari ini ialah Pengasas Yayasan Pink Ribbon Wellness (L), Datuk Dr Devanand.

Mengulas lanjut Boon Chye, berkata inflasi kos perubatan di Malaysia merekodkan antara 10 dan 15 peratus setiap tahun, disebabkan penuaan penduduk, ketersediaan rawatan dan teknologi baharu serta jangkaan yang lebih tinggi daripada masyarakat.

“Kita perlu melihat kos rawatan yang berkesan dan akan mencuba sedaya mungkin untuk menurunkan kos berkenaan.

“Kementerian berjaya mengurangkan harga terapi Hepatitis C dari RM128,000 kepada RM1,500 dengan menggunakan ubat generik,” katanya.

Sementara itu, perangkaan menunjukkan satu daripada 19 wanita akan mengalami kanser payudara.

Berita Harian X