Ahad, 12 Ogos 2018 | 12:19pm
SYED Saleh berucap di perhimpunan bersama petugas TH bagi memberi kata semangat menjelang hari wukuf dan ibadat Masyair. - Foto NSTP

TH dilarang urus jemaah guna visa Furada

KUALA LUMPUR: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melarang Tabung Haji (TH) menguruskan jemaah haji Malaysia yang menggunakan visa Furada (persendirian) berkuat kuasa serta-merta.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat TH berkata, peraturan itu turut dilaksanakan kepada semua negara yang diberikan visa haji Furada.

“Tahun ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan untuk menempatkan jemaah haji yang menggunakan visa Furada dari pelbagai negara di satu penempatan khemah khas yang berasingan daripada penempatan negara asal jemaah.

“Inisiatif ini diambil oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi menguruskan jemaah haji visa Furada dengan lebih tersusun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

TH menjelaskan selain pengeluaran kuota rasmi sebanyak 30,200 yang diberikan kepada Malaysia, pihak kedutaan Arab Saudi turut mengeluarkan visa Furada kepada rakyat Malaysia secara individu di atas budi bicaranya.

Katanya, pemberian visa Furada dikeluarkan pada peringkat akhir fasa penerbangan jemaah haji ke Tanah Suci.

“TH akur dan menghormati peraturan ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi demi menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah haji sedia ada serta jemaah visa Furada yang datang dari seluruh dunia,” katanya.

TH juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana tawaran visa Furada dan pakej haji dari individu atau agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH kerana pihaknya hanya mengawal selia agensi yang berdaftar di bawahnya.

“Orang ramai perlu berhati-hati bagi mengelak kes penipuan yang sering berlaku semasa musim haji,” katanya.

Sebelum ini, bakal jemaah haji yang menerima visa Furada bebas untuk memilih syarikat pelancongan bagi urusan haji di Tanah Suci, namun ada juga bakal haji visa Furada yang memohon untuk mengerjakan haji dengan TH.

Sementara itu, TH juga memaklumkan bagi mematuhi pelan pengurusan risiko ditetapkan Kerajaan Arab Saudi, pihaknya dikehendaki menyediakan sejumlah katil tambahan (kosong) di kesemua 18 bangunan penginapan jemaah haji Malaysia sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku kecemasan atau perkara tidak diingini ketika di Tanah Suci.

Berita Harian X