Khamis, 16 Ogos 2018 | 2:07pm
TAN Sri Ab Rashid Ab Rahman. - Foto NSTP

Jawatankuasa khas kaji undang-undang pilihan raya

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (Electoral Reform Comittee (ERC) ditubuhkan untuk mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, bekas pegawai awam yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pilihan raya.

Katanya, Ab Rashid akan dibantu beberapa ahli yang sedang dikenal pasti untuk dilantik bagi menjalankan tugas yang sudah ditentukan jawatankuasa itu.

"Jawatankuasa diberi masa dua tahun untuk menyiapkan tugasnya termasuk mengemukakan laporan dan perakuan kepada kerajaan untuk diperhalusi dan dilaksanakan.

"Dalam proses mengkaji segala aspek pengurusan pilihan raya, jawatankuasa perlu mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada pelbagai pihak khususnya pihak berkepentingan termasuk parti dan ahli politik, pengundi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak berkepentingan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan, pihak yang dipilih akan diberi peluang dan ruang untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.

Pada masa sama, jawatankuasa akan mengkaji sistem dipakai dengan jayanya di negara demokrasi lain yang sudah mencapai piawaian sesuai selain sudah mendirikan sistem dan pengurusan pilihan raya berlandaskan prinsip demokrasi diterima semua pihak sebagai bebas, adil dan telus.

Terma rujukan jawatankuasa ini adalah mengkaji seluruh undang-undang pilihan raya dan undang-undang lain yang menyentuh urusan dan perjalanan pilihan raya selain mengkaji keperluan mewujudkan sistem pilihan raya sesuai dengan kehendak keadaan semasa masyarakat, politik, ekonomi, sosiobudaya dan sebagainya.

"Seterusnya, membuat perakuan yang perlu untuk mewujudkan undang-undang sesuai mengikut piawaian pengurusan pilihan raya di peringkat antarabangsa.

"Selain itu, mengkaji keperluan mewujudkan undang-undang khusus mengenai penubuhan kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Menurut kenyataan itu, terma rujukan lain bagi jawatankuasa itu adalah mengkaji keperluan mengadakan undang-undang bagi memberikan kuasa kepada badan pengurusan pillihan raya untuk mendaftar dan mengawal selia pertubuhan politik dan parti politik.

Jawatankuasa itu juga akan menubuhkan jawatankuasa kerja yang perlu termasuk menggubal undang-undang pilihan raya dan undang-undang berkaitan selepas laporannya diterima dan diluluskan kerajaan.

46 dibaca
Berita Harian X