Khamis, 16 Ogos 2018 | 11:17pm

Mansuh GST: Kerajaan perlu jimat, galak orang bayar cukai

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melakukan penjimatan dalam perbelanjaan mengurus untuk tempoh sehingga Disember ini susulan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pada masa sama, kerajaan juga perlu menggalakkan rakyat terutama golongan peniaga membayar cukai pendapatan apabila Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dilaksanakan mulai 1 September ini.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar, berkata pemansuhan GST mengakibatkan kerajaan mengalami defisit RM13 bilion.

Katanya, berdasarkan Laporan Ekonomi 2018, jumlah hasil yang diunjurkan kerajaan ialah RM240 bilion diperoleh menerusi cukai langsung berjumlah RM128 bilion dan cukai tidak langsung sebanyak RM64 bilion.

Beliau berkata, daripada RM64 bilion itu, RM44 bilion diperoleh menerusi kutipan GST dan bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, GST yang dikutip sebanyak RM18 bilion.

"Bagaimanapun apabila kerajaan menetapkan GST pada kadar sifar atau tiada cukai mulai Mei hingga Ogos, kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM18 bilion.

"Kerajaan dijangka mengutip RM7 bilion apabila SST laksanakan mulai 1 September ini sehingga akhir tahun. Dengan ketiadaan hasil GST antara Mei hingga Ogos, bermakna kerajaan mengutip cukai GST dan SST berjumlah RM25 bilion untuk tahun ini.

"Dari situ, kerajaan mengalami pengurangan kutipan sekitar RM18 bilion. Perbelanjaan mengurus sebanyak RM234 bilion merangkumi perbelanjaan emolumen sebanyak RM79 bilion, persaraan (RM24 bilion), khidmat hutang (RM31 bilion), bekalan dan perkhidmatan (RM34 bilion) dan bantuan sosial (RM27 bilion)," katanya kepada NSTP.

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan dua Rang Undang-undang (RUU) masing-masing RUU Cukai Perkhidmatan dan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan).

Kerajaan komited melaksanakan SST selepas Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk menghapuskan GST jika berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

GST mula dilaksanakan kerajaan BN pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus.

Abd Aziz berkata, kadar defisit yang sebelum ini diunjurkan Laporan Kewangan 2018 ialah 2.8 peratus tetapi selepas tiada cukai selama tiga bulan dan kemudian SST dilaksanakan, kadar defisit dijangka meningkat kepada empat peratus.

"Jika akaun kerajaan mengalami hasil negatif, kita terpaksa pinjam dan ini tidak elok untuk kerajaan. Oleh sebab itu, kerajaan kena tengok betul-betul hasil perbelanjaan mengurus.

"Kerajaan kena belanja secara berhemah dan pastikan mempunyai aliran wang perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan mengurus perlu diteruskan, kerajaan tidak boleh kurangkan bayaran gaji dan hutang perlu dibayar," katanya.

Sementara itu katanya, pelaksanaan SST menimbulkan risiko rakyat lari daripada membayar cukai atau mewujudkan suasana 'black economy'.

Beliau berkata, nasihat kerajaan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya mengamalkan pendekatan 'berlembut' kepada pembayar cukai seperti menarik balik sekatan ke luar negara jika tidak membayar cukai juga berisiko kepada kutipan kerajaan.

"Justeru, kerajaan perlu menggalakkan rakyat supaya kekal disiplin membayar cukai," katanya.

Menyentuh persoalan pelaksanaan SST akan mendorong ke arah penurunan kos sara hidup, Abd Aziz berkata, impak itu tidak akan dapat dilihat dalam tempoh singkat.

Sebaliknya, ia dijangka mengambil masa sehingga dua bulan selepas SST dilaksanakan kerana lazimnya harga barang tidak menurun secara drastik dan mendadak.

"Kita tidak boleh mengharap harga barang akan turun secara drastik pada 1 September ini. Kena lihat dalam waktu dua bulan atau lebih.

"Kita kena ingat sasaran kerajaan melaksanakan SST adalah untuk menurunkan kos sara hidup rakyat, maka kerajaan perlu pastikan ia berlaku.

"Apabila harga barang turun, kos sara hidup juga dijangka turun. Kos pengangkutan, pendidikan dan perubatan sepatutnya turun selepas September ini, kita perlu tunggu maklum balas rakyat dan bersikap adil kepada kerajaan.

"Bermakna, penguatkuasaan perlu dilaksanakan untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga kerana era SST sepatutnya banyak barang akan turun harga supaya kos sara hidup juga menurun," katanya.

Sementara itu, Presiden dan CEO Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zulkornain Yusop berkata, pelaksanaan SST menuntut kerajaan bertegas mengawal kemungkinan meningkatnya aktiviti peniaga lari membayar cukai.

Katanya, ketika kerajaan berusaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi pengenalan SST, aspek penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan bagi mengawal kenaikan harga barang.

"Jika tidak, hasrat harapan untuk membantu rakyat sukar dicapai dan menjejaskan imej kerajaan," katanya.

45 dibaca
Berita Harian X