Jumaat, 17 Ogos 2018 | 10:50pm
PENGASAS dan Pengerusi Sunway Group dan Yayasan Jeffrey Cheah, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Pengasas Pusat Yunus, Prof Muhammad Yunus (kiri) pada majlis menandatangani MoU Pusat Perniagaan Sosial Yunus dengan Sunway Education di Sunway Universiti. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGASAS dan Pengerusi Sunway Group dan Yayasan Jeffrey Cheah, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Pengasas Pusat Yunus, Prof Muhammad Yunus (kiri) pada majlis menandatangani MoU Pusat Perniagaan Sosial Yunus dengan Sunway Education di Sunway Universiti. - Foto Zunnur Al Shafiq

SEG, YSBC bangunkan perniagaan sosial

SUBANG JAYA: Kampus Sunway Education Group (SEG) bakal menjadi pusat kepada penempatan Pusat Perniagaan Sosial Yunus (YSBC) dalam usaha membangunkan perusahaan sosial negara.

Pengerusi YSBC, Prof Muhammad Yunus, berkata penubuhan pusat ini bertujuan menggalakkan penyertaan generasi muda dalam membantu menyelesaikan masalah sosial menerusi perniagaan, khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya percaya dengan penempatan YSBC di SEG, ia berupaya untuk memberi impak terhadap program ini.

“Menerusi kerjasama dengan SEG, perniagaan sosial ini mampu untuk berkembang dengan baik selain membantu lebih ramai usahawan tempatan menjalankan perniagaan,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama SEG, di sini, hari ini.

MoU itu dimeterai Pengerusi YSBC, Prof Muhammad Yunus dan Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Turut hadir, Naib Cancelor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali, dan Ketua Pegawai Eksekutif MyHarapan, Nurfarini Daing.

Sementara itu, Cheah berkata kewujudan institusi baharu ini adalah komitmen SEG dalam memajukan agenda pembangunan yang mampan ke seluruh dunia.

“Usaha kami di Sunway dipacu pengiktirafan sendiri dengan menyedari bahawa matlamat pembangunan lestari bukan tanggungjawab tunggal kerajaan semata-mata.

“Ia memerlukan komitmen semua sektor termasuk sektor swasta, akademik dan masyarakat.

“Justeru, saya berharap komitmen ini akan memberi inspirasi kepada syarikat lain di seluruh dunia untuk mengambil usaha yang sama,” katanya.

Berita Harian X