Sabtu, 18 Ogos 2018 | 2:10pm
TENGKU Aziz Raja Abdullah

Jemaah haji perlu manfaat detik berharga Masyair

Daripada Tuan Asri Tuan Hussein

MAKKAH: Sehari lagi menjelang ibadat Masyair, bermula dengan wukuf di Arafah pada Isnin yang dianggap kemuncak ibadat haji, Tabung Haji (TH) menasihatkan jemaah Malaysia bersedia dengan persiapan secukupnya daripada segi rohani, jasmani dan ilmu.

Pengarah Operasi Bimbingan TH, Tengku Aziz Raja Abdullah, berkata selain merujuk kepada buku senarai semak yang dibekalkan kepada mereka, jemaah juga dinasihatkan supaya membuat perancangan ibadat sendiri.

"Jemaah kena ada perancangan dan sasaran sendiri apa amalan yang nak dibuat di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Sebagai contoh, nak mengaji dan khatam 30 juzuk al-Quran, berzikir atau bertalbiah 1,000 kali dan sebagainya.

"Apabila ada perancangan dan sasaran, barulah setiap detik berharga Masyair dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak dibazirkan dengan aktiviti merugikan," katanya.

Menurutnya, biarpun sudah menjangka untuk berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran ketika di Arafah, Muzdalilah dan Mina jemaah dinasihatkan tidak memikirkan sangat soal cabaran dan kesukaran itu.

"Semua tahu cuaca panas, khemah sempit dan kita terpaksa bersesak-sesak dengan hampir tiga juta jemaah haji lain dari seluruh dunia tapi saya nasihatkan jemaah Malaysia bukan fikir pasal kepenatan tapi fikir bagaimana nak dapat pahala.

"Di sana nanti Allah nak tengok kebergantungan kita sebagai hambanya. Banyakkan berdoa, minta dipermudahkan dan diberi kesihatan yang baik," katanya ketika ditemui di sini.

Untuk pergerakan ke Arafah, bas pertama dari setiap maktab atau hotel penginapan dijadual bertolak jam 7 pagi.

Setiap maktab yang dihuni kira-kira 3,000 jemaah diperuntukkan 22 bas dan proses membawa jemaah dijangka selesai selepas waktu solat Isyak atau selewat-lewatnya tengah malam.

Selesai ibadat di Arafah, jemaah akan dibawa ke Muzdalifah dengan bas pertama dijadual bergerak selepas waktu Maghrib pada 20 Ogos dan jemaah perlu berada di situ sehingga separuh malam iaitu jam 11.55 malam.

Dari Muzdalifah, jemaah akan dibawa pula ke khemah di Mina secara berperingkat-peringkat dan proses keseluruhan dijangka berakhir sebelum jam 7 atau 8 pagi pada 21 Ogos atau 10 Zulhijjah.

Seterusnya, jemaah perlu berada di Mina dari 11 hingga 13 Zulhijjah (22 hingga 24 Ogos) bagi menyempurnakan ibadat melontar di Jamrah Kubra, Sughra dan Wusta.

Waktu melontar yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi untuk jemaah Malaysia ialah dari selepas Asar sehingga Isyak.

Pada 25 Ogos 2018 (14 Zulhijjah 1439H) Mina ke Makkah bas akan bertolak dari Mina selepas subuh untuk pulang ke Makkah bagi jemaah menyempurnakan ibadat haji dengan melakukan tawaf dan saie.

Berita Harian X