Isnin, 20 Ogos 2018 | 2:09pm
ABD Halim Mohd Hussein (dua dari kiri) menyerahkan surat terima tugas kepada Zulkifli Abdullah (dua dari kanan) sempena majlis Serah Terima Tugas Ketua Pengarah AADK di Ibu Pejabat AADK, Kajang. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pelantikan satu penghormatan - KP AADK

KAJANG: Datuk Seri Zulkifli Abdullah menyifatkan pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai satu penghormatan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memilih saya untuk mengetuai agensi yang ditugaskan untuk membasmi dadah, musuh nombor satu negara.

“Ini adalah satu penghormatan buat saya, pelantikan saya ini mungkin kerana kepemimpinan kerajaan percaya saya boleh menyumbang kepada agensi ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas di ibu pejabat AADK, di sini, hari ini.

Zulkifli dilantik ke jawatan itu susulan persaraan Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.

Bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) itu berkata pelantikan beliau adalah satu perkara biasa.

“Pertukaran saya ini bukanlah perkara yang asing, sebelum ini ada tiga lagi Pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilantik memegang jawatan ini.

“Ingin saya tegaskan, saya gembira berada di sini,” katanya.

Mengulas mengenai sasarannya selepas mengambil alih jawatan berkenaan, Zulkifli berkata dia akan memberi fokus kepada pelaksanaan dasar sedia ada.

“Saya di sini bukanlah untuk melakukan perubahan total, asasnya sudah ada, saya akan fokus kepada pelaksanaan dasar.

“Saya akan melawat semua negeri untuk mendapatkan maklumat mengenai masalah dan cabaran dihadapi kakitangan AADK,” katanya.

Zulkifli mendedahkan, daripada Januari sehingga Mei tahun ini, AADK merekodkan 6,435 kes baharu dan mengesan 2,656 penagih yang berulang.

“Hampir 9,000 kes direkodkan dalam enam bulan pertama tahun ini, 70 peratus daripadanya membabitkan individu berusia 19 hingga 39 tahun.

“Usia berkenaan adalah usia paling produktif daripada aspek sumber manusia, jika mereka terbabit dengan dadah, apakah akan jadi kepada masa depan negara kita,” soalnya.

Beliau berkata kerajaan memerlukan RM32,000 bagi menampung kos untuk proses pemulihan seorang penagih dadah dalam tempoh dua tahun.

“Jumlah ini besar, langkah pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati, kita perlu laksanakan pencegahan sebelum ia menjadi lebih teruk,” katanya.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dan Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang.

Berita Harian X