Rabu, 22 Ogos 2018 | 1:53pm
LIM Guan Eng.- Foto NSTP

RM16.046 bilion belum dibayar balik oleh LHDN

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan mendedahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sehingga 31 Mei 2018.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, baki kredit belum dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang tertunggak lebih enam tahun itu berjumlah RM16.046 bilion membabitkan 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

"Baki tunggakan sebegini besar disebabkan oleh kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC), di mana bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung terbabit.

"Baki sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei lalu hanya RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara, jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar.

"Justeru, RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama (BN), bermakna hasil Kerajaan Persekutuan yang dilaporkan kerajaan lama sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Guan Eng, tunggakan besar bayaran balik baki kredit sehingga melebihi enam tahun itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDN.

Beliau berkata, apa yang dilakukan kerajaan lama adalah pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit kerajaan sebelum ini supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan.

"Bagi meringankan bebanan pembayar cukai, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju membenarkan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN membuat permohonan 'set-off' (tolak-selesai) sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa.

"Permohonan 'set-off' ini hendaklah dikemukakan kepada LHDNM untuk disemak dan dipertimbangkan kelulusannya manakala bayaran wang akan dibuat mengikut kemampuan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

Pada 9hb Ogos lalu, Guan Eng dalam ucapannya di Dewan Rakyat bagi Bacaan Kali Kedua pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018, mendedahkan masalah tunggakan bayaran balik cukai input GST RM19.397 bilion kepada 121,429 syarikat dan individu sejak 2015 akibat kegagalan Kerajaan Persekutuan lama memindahkan wang yang mencukupi untuk Tabung Bayaran Balik GST.

Beliau menyifatkannya sebagai 'pecah amanah' kerana kerajaan lama menggunakan wang milikan pembayar cukai tanpa persetujuan mereka dengan sesuka hati untuk menutup defisit perbelanjaan dan membiaya perbelanjaan kerajaan.

"Kami berharap kes kegagalan bayaran balik cukai langsung sebanyak RM16.046 bilion ini adalah pembongkaran mega yang terakhir berkaitan

skandal penyelewengan dan penyalahgunaan kewangan kerajaan lama," katanya.

198 dibaca
Berita Harian X