Khamis, 23 Ogos 2018 | 5:29pm
SYED Saleh (empat dari kiri) bersama beberapa jemaah haji Malaysia yang juga anggota Sahabat Maktab bersedia untuk bergotong-royong membersihkan persekitaran khemah Maktab 81 di Mina.

Muafakat jemaah jayakan kempen kebersihan

MINA: Kempen Kebersihan Perdana Masyair yang pertama kali diadakan pada musim haji tahun ini berjaya mencapai matlamatnya dan akan diteruskan oleh Tabung Haji (TH) pada masa depan.

Ketua Rombongan Haji (KRH) Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata, beliau amat berpuas hari dengan kerjasama dan semangat ditunjukkan jemaah haji Malaysia dalam melaksanakan kempen itu.

Menurutnya, biarpun kemuncak kempen disasarkan di kawasan khemah jemaah Malaysia di Mina, jemaah sudah melakukannya secara kendiri di dua lokasi ibadat Maysair sebelum ini iaitu ketika wukuf di Arafah dan di Muzdalifah.

"Kempen ini memberi kesan sangat baik kepada jemaah haji Malaysia sejak di Arafah lagi di mana khemah jemaah Malaysia adalah antara yang terbersih apabila ditinggalkan selepas ibadat wukuf selesai.

"Begitu juga semasa meninggalkan Muzdalifah, kawasan jemaah haji kita dilihat sangat bersih daripada sampah sarap berbanding dengan kawasan negara lain," katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pelaksanaan kempen kebersihan itu Maktab 81 di sini, pada Rabu.

Menurutnya, keberkesanan kempen itu membuktikan jemaah haji Malaysia boleh melakukan perubahan untuk menjaga kebersihan seterusnya menjadi jemaah haji contoh bagi negara lain.

DUA jemaah haji Malaysia yang terbabit dalam gotong-royong sempena Kempen Kebersihan Perdana Masyair.

“Ini satu permulaan yang baik dan akan ditambah baik lagi pada masa depan. InsyaAllah kita akan teruskan kempen ini, kita akan mulakan dari Malaysia lagi.

"Jemaah akan diterangkan dengan lebih lanjut (mengenai kempen ini) di dalam kursus haji supaya mereka lebih bersedia untuk menjaga kebersihan apabila berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina," katanya.

Kempen Kebersihan Perdana Masyair ini dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, di lobi Maktab 72 Hotel Land Premium, Makkah pada 17 Ogos lalu.

Di Arafah dan Muzdalifah kegiatan program dilakukan secara kendiri oleh jemaah dengan dipantau pengurus maktab masing-masing sebelum kegiatan lebih tersusun dibuat sepanjang tiga hari jemaah berada di Mina, bermula dari 11 hingga 13 Zulhijjah (22 hingga 24 Ogos).

Sepanjang tiga hari itu, dalam tempoh satu jam iaitu dari jam 8 hingga 9 pagi, semua jemaah Malaysia dibekalkan plastik untuk bergotong royong mengutip sampah di kawasan khemah tempat tinggal mereka.

Sementara itu, seorang jemaah haji Malaysia Faiz Sahri, 46 menyifatkan program gotong-royong itu satu projek yang cukup bagus kerana dapat menjadikan jemaah lebih peka kepada kebersihan persekitaran.

FAIZ Sahri.

"Alhamdulillah, kempen seperti ini dapat mencerminkan bukan saja sifat rakyat Malaysia itu sendiri, malah peribadi sebagai seorang Muslim yang begitu dekat dengan kebersihan," katanya yang juga anggota Sahabat Maktab.

Berita Harian X