Jumaat, 24 Ogos 2018 | 4:33pm
KETUA Rombongan Haji (KRH) Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman (bertopi merah) menyambut ketibaan jemaah haji dari Mina di Maktab 75 Abraj Al-Janadriyah.

Jemaah haji Malaysia selesai ibadat Masyair

MAKKAH: Kira-kira 30,200 jemaah haji Malaysia selesai melakukan ibadat Masyair secara dua peringkat iaitu pada Khamis bagi yang melakukannya secara Nafar Awal dan Jumaat bagi kumpulan melakukan secara Nafar Thani.

Ibadat Masyair bermula dengan wukuf di Arafah, diikuti berada seketika pada tengah malam di Muzdalifah pada Isnin lalu dan seterusnya bermalam di Mina serta melontar di tiga Jamrah pada tiga hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijjah (22 hingga 24 Ogos).

Sejurus tiba di Makkah dari Mina, jemaah perlu melakukan dua ibadat lagi iaitu tawaf serta saie bagi melengkapkan syarat wajib dan rukun ibadat haji mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, seramai 16,200 jemaah haji Malaysia melakukan Nafar Awal manakala selebihnya kira-kira 14,000 jemaah melakukan Nafar Thani.

Menurutnya, penentuan sama ada jemaah itu membuat Nafar Awal atau Nafar Thani diputuskan oleh Tabung Haji (TH), berdasarkan tarikh penerbangan mereka.

"Secara umum, kumpulan jemaah yang datang awal ke Tanah Suci dan akan pulang awal ke tanah air akan membuat Nafar Awal," katanya kepada media Malaysia di sini.

Jemaah yang melakukan Nafar Awal mabit atau bermalam di Mina cuma dua malam sahaja dan mereka juga melontar di tiga Jamrah pada dua hari saja daripada tiga hari Tasyrik.

JEMAAH haji yang selesai melakukan ibadat Masyair secara Nafar Thani tiba di hotel penginapan mereka di Maktab 75 Abraj Al-Janadriyah, Makkah pada Jumaat.

Mujahid berkata, bas pertama yang membawa jemaah Nafar Awal dari Mina ke Makkah bertolak pada jam 6 pagi Khamis manakala bas pertama membawa jemaah Nafar Thani pula mula bertolak pada jam 7 pagi Jumaat.

Selepas melengkapkan ibadat haji dengan melakukan tawaf dan saie, jemaah yang datang melalui penerbangan awal dan masuk ke Tanah Suci melalui Madinah, akan mula pulang ke tanah air berperingkat-peringkat dengan penerbangan pertama dijadualkan pada 29 Ogos depan.

Jemaah yang datang menerusi penerbangan lewat dan terus datang ke Makkah, akan dibawa pula ke Madinah untuk aktiviti ziarah termasuk ke Masjid Nabawi dan makam Rasulullah SAW.

Berita Harian X