Selasa, 28 Ogos 2018 | 1:46pm
DR Ong Kian Ming (dua dari kiri) beramah mesra bersama peserta yang hadir pada majlis Industrial Park Farum For Southern Region Strengthening The Manufacturing Ecossystem di Hotel Holiday Villa. - Foto Mohd Azren Jamaludin
DR Ong Kian Ming (dua dari kiri) beramah mesra bersama peserta yang hadir pada majlis Industrial Park Farum For Southern Region Strengthening The Manufacturing Ecossystem di Hotel Holiday Villa. - Foto Mohd Azren Jamaludin

SST tidak jejaskan pelaburan luar - Kian Ming

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September ini tidak akan menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) terutama di negeri yang sedang pesat membangun.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata beliau melihat pelaksanaan SST tidak sama sekali akan menjejaskan sektor perindustrian terutama FDI di negara ini.

Katanya, berbanding pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sebelum ini, banyak syarikat dan pelabur tidak dapat menuntut semula cukai yang sudah dibayar.

“Saya tidak melihat perkara itu (menjejaskan FDI) kerana pelaksanaan SST adalah satu sistem yang telus dan realitinya, banyak syarikat tidak boleh menuntut semula cukai yang dibayar ketika pelaksanaan GST.

“Setidak-tidaknya, dengan pelaksanaan SST nanti, syarikat dalam mahupun luar yang melabur di negara ini boleh merancang kewangan mereka secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Taman Industri untuk wilayah selatan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kedua Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse.

Kian Ming berkata, kementeriannya juga akan membantu pihak industri menyalurkan sebarang persoalan atau kekeliruan mengenai SST kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Kewangan.

Dalam perkembangan lain, Kian Ming memaklumkan MIDA sudah meluluskan hampir 30,000 projek pembuatan dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.143 bilion sejak 1980 sehingga suku pertama tahun ini.

“Ini sekali gus mencipta 3.4 juta peluang pekerjaan untuk negara ini yang membabitkan 55 peratus daripadanya adalah jawatan berkemahiran,” katanya.

Berita Harian X