Selasa, 28 Ogos 2018 | 11:46pm
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Hasil kajian undang-undang lapuk dibawa ke Kabinet

PUTRAJAYA: Cadangan dan perakuan jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang keselamatan yang tidak lagi sesuai dengan landskap sosial serta politik hari ini akan dibawa kepada Kabinet tidak lama lagi untuk pertimbangan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa khas itu sudah bermesyuarat sebanyak tiga kali iaitu pada 13 Julai, 30 Julai dan hari ini (28 Ogos).

“Skop kajian jawatankuasa ini merangkumi undang-undang di bawah bidang kuasa KDN yang dinyatakan dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ini termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1985, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015, serta peruntukan mengenai hukuman mati mandatori,” kata KDN.

Tambahnya, terma rujukan jawatankuasa itu turut merangkumi mengenalpasti peruntukan-peruntukan dalam undang-undang berkenaan yang tidak selari dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, mengkaji implikasi jika undang-undang berkenaan dimansuh atau dipinda.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan dianggotai wakil pelbagai jabatan, agensi serta pihak yang berkaitan.

Antaranya, Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Badan Peguam Malaysia, ahli akademik, pengamal undang-undang, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia. – BERNAMA

22 dibaca
Berita Harian X