Rabu, 29 Ogos 2018 | 4:52pm
PENGERUSI Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman (kanan) bersama pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama ERC. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman (kanan) bersama pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama ERC. - Foto BERNAMA

SPR layak pantau, kendali parti politik

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak mengambil alih peranan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengendalikan pendaftaran dan kawal selia parti politik.

Penganalisis politik yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata melalui keputusan pindah kuasa itu, badan pengurus pilihan raya boleh memantau parti politik dan membuat keputusan segera ketika Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Pindahan kuasa ROS kepada SPR akan mengurangkan birokrasi ketika pilihan raya.

“Kalau ada keputusan perlu dibuat oleh SPR berhubung parti politik ketika kempen dan hari mengundi, mereka boleh terus putuskan. Tidak perlu tunggu ROS.

“Jika satu jabatan sahaja mengawal selia persatuan dan pilihan raya lagi cepat dan mudah. Saya berpandangan cadangan ini perlu dilaksanakan segera, ” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau merujuk cadangan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) untuk mengkaji pindahan bidang kuasa pendaftaran dan kawal selia parti politik daripada ROS kepada badan pengurus pilihan raya.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal tidak bersetuju ROS dibubarkan namun mahu ERC membuat pembahagian kuasa antara jabatan kerajaan dan institusi perlembagaan itu dengan jelas.

“Pembahagian kuasa antara ROS dan SPR perlu jelas. SPR mungkin ambil alih kuasa ROS untuk uruskan parti politik ketika pilihan raya sahaja, perkara lain seperti pendaftaran tetap dibawah bidang kuasa ROS.

“ROS adalah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dianggap sebahagian daripada kerajaan manakala SPR adalah badan bebas dan berkecuali yang termaktub di bawah perlembagaan. Itu beza ROS dengan SPR,” katanya.

Awal pagi tadi, ketika mesyuarat pertamanya, ERC mencadangkan untuk mengkaji pindahan bidang kuasa pendaftaran dan kawal selia parti politik daripada ROS kepada badan pengurus pilihan raya.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, berkata usaha itu bagi memperkasa badan pengurus pilihan raya di negara ini supaya mempunyai kuasa dalam mengurus pilihan raya sepenuhnya.

ERC juga dijangka akan mengkaji penubuhan undang-undang bagi kerajaan sementara melaksanakan pentadbiran negara selepas kerajaan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU, mengkaji undang-undang dan kod etika bagi pilihan raya, perjalanan pilihan raya, daftar umur pemilih serta persempadanan semula.

Berita Harian X