Isnin, 3 September 2018 | 5:28pm

Ahmad Hasbullah dilantik Panglima Tentera Darat

KUALA LUMPUR: Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dilantik Panglima Tentera Darat yang baharu, menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim, berkuat kuasa hari ini.

Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas antara Zulkiple dan Ahmad Hasbullah yang bersara wajib disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf; dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah berkata beliau akan terus mendukung hasrat Zulkiple yang mahu empat teras utama diberi perhatian serius seiring usaha memperkasakan peranan Tentera Darat.

Empat teras itu ialah Angkatan Profesional, Ketumbukan yang Siap Siaga, Keutuhan Organisasi dan Memperkasa Kualiti Hidup.

Pada masa sama, katanya, beliau berharap Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia akan terus memberi khidmat nasihat dan panduan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab baharu itu dengan baik.

“Pada kesempatan ini juga, saya ingin menjunjung kasih kepada Yang di- Pertuan Agong (Sultan Muhammad V) di atas perkenan (baginda) menyokong pelantikan saya.

“Ucapan terima kasih juga kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Menteri Pertahanan (Mohamad) yang turut menyokong saya dilantik Panglima Tentera Darat yang baharu.

“Saya memohon kepada Allah untuk diberikan hidayah dan kekuatan bagi menjalankan tugas itu seperti yang dipertanggungjawabkan,” katanya berucap pada majlis itu di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Ahmad Hasbullah, 57, pernah memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat pada 2009 sebelum dilantik Timbalan Panglima Tentera Darat pada 2011.

Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak, itu ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981.

Selain itu, Ahmad Hasbullah pernah menjadi Pengarah Pendidikan ATM selama tiga tahun bermula 1 April 2001.

595 dibaca
MOHAMAD Sabu (dua dari kiri) menyaksikan serah terima tugas Panglima Angkatan Tentera Darat diantara Tan Sri Zulkiple (kiri) dan Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi (kanan) pada majlis serah terima tugas di Kementerian Pertahanan. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X