Selasa, 4 September 2018 | 1:08pm
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Seri Paduka hadir acara, majlis sempena Hari Keputeraan

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat mencemar duli menghadiri acara dan majlis rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong XV, 9 September ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berkata seperti perkenan baginda, Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan bagi Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan tidak akan diadakan pada sambutan kali ini.

Oleh itu, beliau berkata, Sultan Muhammad V berkenan untuk berangkat mencemar duli menghadiri Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang akan diadakan di Masjlid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Khamis ini.

“Baginda juga akan berangkat ke Masjid Wilayah pada keesokan harinya bagi menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah khas,” katanya.

Ismail berkata, Sultan Muhammad V akan berangkat mencemar duli hadir ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 12 September di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1 di sini, dan Forum Perdana Diraja di Istana Negara, Kuala Lumpur, 13 September ini.

Beliau berkata, berikutan tarikh Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi baginda pada 9 September ini jatuh pada Ahad, maka cuti gantian diberikan pada Isnin (10 September) bagi negeri yang cuti mingguannya jatuh pada Ahad. – BERNAMA

Berita Harian X