Selasa, 4 September 2018 | 1:36pm

LIMA '19 dijangka tarik sekurang-kurang 600 pempamer

KUALA LUMPUR: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) yang akan berlangsung di Langkawi, Mac tahun depan, dijangka menarik sekurang-kurang 600 syarikat pempamer membabitkan 14 negara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya menyasarkan 60 peratus penyertaan membabitkan pemain industri pertahanan, manakala selebihnya daripada kalangan syarikat komersial.

“Sebanyak 555 pempamer dan 371 delegasi dari 49 negara menyertai LIMA ‘17 yang turut menarik kehadiran 40,000 pelawat perniagaan serta 200,000 pengunjung awam.

“Kita berharap LIMA ‘19 akan menarik lebih ramai pengunjung dan pempamer bersama teknologi serta aset terbaharu yang dapat dimanfaatkan untuk pertahanan maritim dan aeroangkasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LIMA ‘19 di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; dan Pengerusi EN Projects (M) Sdn Bhd, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Mohamad berkata, LIMA ‘19 memberi peluang kepada kerajaan untuk menjadikan pameran itu rujukan kemampuan pertahanan negara.

“Melalui pameran itu, kita dapat mengukur sejauh mana pembangunan dan pemodenan sistem ketenteraan negara, termasuk keperluan pertahanan ruang angkasa serta maritim.

“Kuasa udara serta maritim menjadi keutamaan pertahanan kita dan LIMA sebagai hab pertahanan adalah paling sesuai untuk kita mencari cara terbaik ke arah itu,” katanya.

Sementara itu, EN Projects selaku penganjur LIMA ‘19 turut menyasarkan lebih 100 pesawat dan 30 aset maritim menyertai pameran kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Sabri Adam, berkata lebih 60 peratus ruang lantai pameran sudah ditempah pemain industri dari dalam serta luar negara dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang bulan depan.

“Penganjur turut mengambil beberapa pendekatan baharu untuk memperkukuh daya efektif LIMA dan pada masa sama, memperbaiki inisiatif sedia ada bagi menarik lebih banyak penyertaan,” katanya.

Pameran LIMA yang kini memasuki edisi ke-15 sejak diperkenalkan pada 1991, akan berlangsung selama lima hari bermula 26 hingga 30 Mac tahun depan.

Pameran terbesar maritim dan aeroangkasa di Asia Pasifik itu akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) dan Resort World Langkawi dengan tema ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’.

366 dibaca
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Senator Liew Chin Tong (kanan) merasmikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ‛19) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif EN Projects, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Sabri Adam (kiri). - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X