Selasa, 4 September 2018 | 4:18pm
MOHAMADDIN Ketapi ketika sidang media di MaTIC, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad
MOHAMADDIN Ketapi ketika sidang media di MaTIC, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

PTM 2018 jangka pulangan RM100 juta

KUALA LUMPUR: Pemasaran Kembara Persatuan Pengembaraan Asia pacific (PATA Travel Mart 2018) menjangkakan mendapat pulangan RM100 juta menerusi penganjuran acara berprestij itu.

PTM 2018 akan berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) mulai 12 hingga 14 September ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berkata, pulangan itu dijangka diperolehi dalam masa enam bulan hingga ke setahun selepas acara itu berlangsung.

"Perniagaan pelancongan adalah sangat berbeza kerana pulangan tidak akan datang dalam masa singkat.

"Kita juga berharap industri pelancongan bukan sahaja akan berkembang di Langkawi tetapi juga di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, " katanya pada sidang media PTM 2018 yang diadakan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Nordin dan Timbalan Ketua Pengarah Pelancongan (Promosi), Datuk Seri Abdul Khani.

Mohamaddin berkata, acara utama program kali ini ialah Sesi Business-to-Business, platform sehenti yg menemukan penjual (sellers) dan bakal pembeli (hosted buyers).

Beliau berkata, sebanyak 198 organisasi antarabangsa akan menyertai PTM 2018 sebagai penjual, termasuk dari India, Thailand, China, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Kanada, Korea dan Jerman.

Serta seramai 73 media antarabangsa dan tempatan akan datang membuat liputan.

Antara program lain yang turut dinantikan dalam PTM 2018 ialah Majlis Anugerah PATA Gold Awards 2018 bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat dan destinasi pelancongan rantau Asia Pacific yang cemerlang dalam pelancongan.

Mohamaddin berkata, penganjuran acara kali ketiga ini mendapat sambutan yang amat baik.

"Pada awalnya penganjur hanya membuka penyertaan kepada 40 negara namun akhirnya mereka menerima penyertaan daripada 60 negara membabitkan 2,500 delegasi," katanya.

Berita Harian X