Rabu, 5 September 2018 | 2:29pm
DR Mohd Hatta Md Ramli melawat ruang pameran peniaga selepas merasmikan program Entreprenuer Millionaire Fest 2018 di Politeknik Port Dickson. - Foto Hazreen Mohamad
DR Mohd Hatta Md Ramli melawat ruang pameran peniaga selepas merasmikan program Entreprenuer Millionaire Fest 2018 di Politeknik Port Dickson. - Foto Hazreen Mohamad

Kementerian Pembangunan Usahawan hasrat lahir sejuta usahawan

PORT DICKSON: Kementerian Pembangunan Usahawan menyasarkan melahirkan sejuta usahawan kecil dan sederhana dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sasaran itu selaras Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0) yang menyaksikan peralihan automasi dan teknologi baharu.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata jumlah itu tidak mustahil dapat dicapai jika semua pihak berganding bahu dalam melahirkan usahawan baharu, terutama dalam kalangan generasi muda.

Katanya, kementerian meletakkan sasaran melahirkan kira-kira 200,000 usahawan setahun di seluruh negara dengan menumpukan perhatian kepada golongan B40 dan yang baru menamatkan pengajian.

“Kita akan membantu mereka memulakan perniagaan dari segi modal, latihan dan kursus keusahawanan. Kita juga akan mewujudkan satu jaringan usahawan bersama agensi berkaitan bagi memperluaskan pasaran mereka.

“Malah, kementerian akan bekerjasama dengan SME Corp dan pihak pembiayaan lain sebagai usaha mendedahkan usahawan kepada era RI 4.0 supaya tidak ketinggalan.

“Generasi muda perlu merebut peluang menjadi usahawan, dengan perniagaan tidak lagi tertakluk pada sistem sedia ada, sebaliknya tertumpu pada perniagaan dalam talian dan kaedah lain yang mengubah urus niaga secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis Entrepreneur Millionaire Fest 2018 di sini, hari ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM), Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamsani.

Terdahulu, Mohd Hatta menyampaikan anugerah kepada ikon usahawan menerusi lima kategori berbeza.

Antara yang diiktiraf ialah Mohd Azwan Md Nor atau Wak Doyok (Ikon Usahawan Belia); Siti Farahana Khairuddin (Ikon Usahawan Wanita) dan Datuk Dr Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof (Ikon Motivator).

Mohd Hatta berkata, semua penerima anugerah terbabit perlu melanjutkan pengiktirafan dengan menjadi mentor dan pembimbing kepada golongan muda serta bakal usahawan.

Berita Harian X