Sabtu, 8 September 2018 | 4:27pm
Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Ucaptama dan perasmian Multaqa Kebangsaan Alumni Al-Azhar Kali Ke 2 di Hotel Seri Pacific. - Foto Saifullizan Tamadi
Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Ucaptama dan perasmian Multaqa Kebangsaan Alumni Al-Azhar Kali Ke 2 di Hotel Seri Pacific. - Foto Saifullizan Tamadi

Umat Islam dituntut bersifat belas kasihan

KUALA LUMPUR: Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seharusnya diberi peringatan dan nasihat dengan cara berhemah, belas kasihan dan bukannya dengan kekasaran supaya si pelaku tidak terus terdedah dengan kemurkaan Allah.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata justeru umat Islam dituntut untuk menghayati maksud al-Rahmah dan al-Rahim kerana ia terkandung dalam surah al-Fatihah yang memberi pengertian begitu jelas dalam kehidupan seharian.

Katanya, kedua-dua maksud itu jelas menuntut umat Islam untuk bersifat belas kasihan terhadap mereka yang lupa tanggungjawab kepada Allah.

“Isu LGBT umpamanya, umat Islam perlu melihat ia dengan satu pandangan rahmat, bukannya dengan kejian, kerana ia dilihat sebagai satu musibah dan kita perlu berusaha untuk menghapuskannya mengikut kemampuan dengan perasaan belas kasihan dan rahmat.

“Ia menuntut kita untuk membantu mengikut kemampuan masing-masing dan paling mudah sekali ialah dengan mendoakan dan meluahkan keprihatinan terhadap apa yang dilalui oleh mereka.

Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim (tengah), Ucaptama dan perasmian Multaqa Kebangsaan Alumni Al-Azhar Kali Ke 2 di Hotel Seri Pacific. - Foto Saifullizan Tamadi
Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim (tengah), Ucaptama dan perasmian Multaqa Kebangsaan Alumni Al-Azhar Kali Ke 2 di Hotel Seri Pacific. - Foto Saifullizan Tamadi

“Ia tidak hanya menjurus kepada LGBT, tetapi turut mempengaruhi dalam pelbagai situasi umat Islam memerlukan bantuan,” katanya ketika merasmikan Multaqa Kebangsaan Alumni Al-Azhar Kali Ke 2, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.

Multaqa dengan tema ‘Al-Rahmah Asas Perpaduan’ ini dihadiri kira-kira 300 alumni Universiti al-Azhar, ilmuan dan tokoh masyarakat bertujuan untuk membincangkan isu perpaduan secara ilmiah dan memperlihatkan Islam sebagai agama pembawa rahmat untuk semua.

Mohamad Nordin berkata, Islam digambarkan sebagai agama yang keras dan sukar untuk bertoleransi dengan bukan Islam, malah segelintir umat Islam tidak memahami, salah tafsir dan tidak mengamalkan Islam dengan benar.

“Ia adalah cabaran besar yang bukan saja perlu dihadapi oleh alumni al-Azhar, malah kita semua perlu mendepani perkara ini yang dilihat sebagai cubaan membawa wajah Islam yang menyeleweng daripada tafsiran ulama dalam Islam.

“Penyimpangan daripada matlamat inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan bukan saja umat Islam tetapi sebuah masyarakat dan negara.

“Sekiranya Islam dilihat sebagai agama rahmat, sudah tentu kita akan dapat mewujudkan perpaduan yang hakiki dalam masyarakat di negara ini,” katanya.

Berita Harian X