Ahad, 9 September 2018 | 7:02pm
Kementerian Pendidikan diminta mengkaji secara komprehensif cadangan penggunaan gajet serta peranti elektronik bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. - Gambar hiasn
Kementerian Pendidikan diminta mengkaji secara komprehensif cadangan penggunaan gajet serta peranti elektronik bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. - Gambar hiasn

Cadangan pelajar guna gajet di sekolah perlu kajian komprehensif - KGMMB

JERANTUT: Kementerian Pendidikan diminta mengkaji secara komprehensif cadangan penggunaan gajet serta peranti elektronik bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik, berkata langkah itu perlu bagi membolehkan kementerian mengetahui secara jelas kesan positif dan sebaliknya jika pelajar dibenarkan berbuat demikian.

Beliau berkata, kementerian juga perlu menyediakan garis panduan khusus mengenai cadangan itu supaya gajet dan peranti elektronik berkenaan tidak disalahgunakan.

“Dari aspek PdP, ia memang baik tetapi dibimbangi timbul perkara luar jangka yang boleh mengundang masalah seperti penjagaan peralatan berkenaan dan rangkaian Internet lemah sehingga merencatkan penggunaan serta mencetuskan isu lain.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Jasni Md Kechik, mahu kementerian pendidikan mengkaji semula secara menyeluruh penggunaan telefon bimbit di sekolah. - Foto Amir Hamzah Nordin
Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Jasni Md Kechik, mahu kementerian pendidikan mengkaji semula secara menyeluruh penggunaan telefon bimbit di sekolah. - Foto Amir Hamzah Nordin

“Penyediaan prasarana seperti rangkaian Internet, WiFi dan peralatan juga harus mencukupi serta sesuai dengan persekitaran pembelajaran, selain selari hasrat kurikulum dan keperluan semasa,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sebagai contoh, Jasni berkata, kerajaan Perancis memansuhkan penggunaan peranti terbabit di sekolah negara itu mulai bulan ini, selepas mendapati banyak kesan negatif seperti kurang tumpuan di dalam kelas, gejala buli dan Internet dilayari secara tidak wajar.

“Apabila negara maju seperti Perancis memansuhkan penggunaan peranti itu, pihak kerajaannya pasti sudah membuat kajian terperinci kesan baik dan buruk, terutama aspek kehilangan tumpuan pelajar terhadap proses PdP.

“Peranti atau telefon bimbit boleh melekakan pelajar yang melayari Internet sesuka hati sekiranya tidak dikawal dengan betul. Malah, mereka boleh menghubungi sesiapa sahaja jika tiada pemantauan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar akan menyebabkan pembaziran wang kerana terpaksa menjelaskan bil setiap bulan, sedangkan ia patut digunakan untuk perkara lain yang lebih perlu.

“Jika hanya menekankan konsep gajet semata-mata, kontraktor yang akan untung dan bukan pelajar. Justeru, kementerian perlu membuat kajian secara komprehensif,” katanya.

Berita Harian X