Isnin, 10 September 2018 | 12:08pm
TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP

Syor tubuh Jawatankuasa Menteri atasi dadah

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan menubuhkan Jawatankuasa Menteri bagi memberi tumpuan secara menyeluruh berhubung masalah dadah, sekali gus mencari pendekatan serta strategi baharu bagi menangani ancaman itu.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata jawatankuasa peringkat tertinggi itu harus membabitkan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau timbalan beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Pembentukan jawatankuasa itu bertujuan supaya hasil perbincangan diambil berat oleh setiap pihak. Jawatankuasa itu boleh membuat cadangan untuk menangani masalah dadah dan memastikan pelaksanaannya dibuat dengan berkesan.

“Saya berharap Jawatankuasa Menteri itu dapat mencari kaedah dan pendekatan lebih berkesan untuk menangani masalah dadah merangkumi semua aspek terutama pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan serta kerjasama antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk mengkaji semula strategi dan pendekatan yang sudah diambil serta melihat keberkesanannya bagi memerangi masalah dadah.

“Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa program mencegah penyalahgunaan dadah di negara ini masih belum memenuhi objektifnya walaupun banyak peruntukan disalurkan untuk tujuan itu.

“Beliau berkata penagih dadah masih menjadi golongan majoriti banduan di negara ini dan laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula menunjukkan 25,922 kes penyalahgunaan dadah dikesan tahun lalu membabitkan 18,440 kes baharu dan 7,482 kes berulang.

“Kebimbangan dizahirkan Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu adalah wajar dan saya sendiri amat konsisten mendesak pihak berkuasa berkaitan mengkaji semula usaha dan strategi mereka menangani masalah dadah yang masih kekal musuh nombor satu negara sejak 1980-an,” katanya.

Katanya, beliau bersetuju bahawa pelbagai usaha sudah dibuat termasuk peruntukan ratusan juta untuk program menangani isu dadah, namun tidak ada penyelesaian dapat dilihat kerana masalah itu seperti tiada kesudahan dan ramai belia menjadi mangsa dadah.

“Pengwujudan hukuman mati secara mandatori juga tidak dapat mengatasi masalah pengedaran dadah di negara ini.

“Walaupun operasi dibuat saban minggu, manakala sindiket pengedaran dan makmal dadah banyak dibongkar, namun itu hanya mewakili sebahagian kecil masalah terbabit dan seolah-olah tiada jalan penyelesaian kekal,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan data AADK, jumlah penagih dadah dikesan di seluruh negara menurun sebanyak 16 peratus pada 2017 berbanding 2016, manakala jumlah penagih baharu dan penagih berulang yang dikesan pada 2017 juga masing-masing menurun sebanyak 19.6 peratus dan 5.5 peratus.

“Walaupun terdapat penurunan, masalah itu masih membimbangkan dan terlalu serius untuk diabaikan. Pada 2016, statistik menunjukkan jumlah penagih meningkat sebanyak 14 peratus berbanding 2015, manakala 58 peratus daripada banduan yang meringkuk di dalam penjara adalah akibat jenayah berkaitan dadah.

“Masalah dadah semakin serius dan sindiket berkaitan amat bersungguh-sungguh untuk mempengaruhi lebih ramai individu untuk mengambil dadah. Mereka juga cuba untuk memperluaskan pengaruh di sekolah dengan menawarkan dadah kepada pelajar.

“Kemudahan dan makmal memproses dadah juga turut ditemui di pelbagai lokasi di seluruh negara dan kebanyakannya dibongkar oleh pasukan polis,” katanya.

Beliau berkata, usaha memerangi dadah oleh agensi penguatkuasaan seperti polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan melakukan lebih banyak operasi sebaik menerima maklumat orang awam adalah tindakan bernas.

Katanya, banyak jenayah berlaku hari ini berkaitan dengan dadah dan penyalahgunaan bahan terlarang itu yang menjadi antara punca utama kes jenayah harta benda dan kekerasan di seluruh negara.

Berita Harian X