Rabu, 12 September 2018 | 12:25pm
YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memeriksa kawalan kehormat semasa berangkat ke Istiadat Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda di Dataran Pahlawan Negara. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Agong sempurnakan Istiadat Mengarak Panji-Panji

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang berlangsung di Dataran Pahlawan, Presint 1 di sini, hari ini.

Sebaik keberangkatan tiba pada jam 10.55 pagi, nyanyian lagu Negaraku dimulakan yang turut disertai 21 das Tembakan Meriam Kehormat disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai oleh Mejar Mohd Asri Che Wil dan Terbang Lintas oleh lima helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain membawa Jalur Gemilang, helikopter turut membawa bendera ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia diketuai oleh Mejar Narul Nizam Ismail.

Istiadat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong mewakili Menteri Pertahanan dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Seterusnya, Sultan Muhammad V melakukan pemeriksaan perbarisan diikuti pembukaan medan oleh pancaragam dan kemudian Pengiring Panji-Panji mengambil Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong disusuli lagu Negaraku (naskhah ringkas) dan berlangsung Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Pentingnya Panji-Panji adalah mengekalkan semangat, moral dan identiti sesuatu perkhidmatan dan pasukan, manakala penganugerahan Panji-Panji ini sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang oleh perkhidmatan dan pasukan kepada negara.

Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong adalah satu upacara istiadat gilang-gemilang di mana Panji-Panji ini satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan tidak berbelah bahagi oleh ATM kepada raja dan negara.

Pada istiadat hari ini, turut berlangsung perbarisan berjalan laju dalam tempoh perlahan dan cepat, perbarisan mara menghadap serta laungan 'Daulat Tuanku'.

Istiadat pada hari ini diakhiri dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku bersekali lintas helikopter ATM.

Sultan Muhammad V kemudian berangkat meninggalkan majlis pada jam 11.49 pagi.

Berita Harian X