Isnin, 17 September 2018 | 4:04pm
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir. - Foto Surianie Mohd Hanif
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir. - Foto Surianie Mohd Hanif

Keputusan Pusat tepat pada masanya

KUCHING: Pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengembalikan status wilayah kepada Sabah dan Sarawak disifatkan tepat pada masanya ketika kesedaran rakyatnya memuncak berhubung hak mereka.

Pengumuman itu juga disifatkan bertepatan dengan sentimen dan perjuangan semasa yang sedang dilaksanakan pemimpin kedua-dua wilayah berkenaan.

Bagi penganalisis politik, pengumuman itu ternyata menarik minat semua pihak sama ada untuk kepentingan politik mahupun memenuhi kehendak, begitu juga aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata ketika pembentukan Malaysia pada 1963, kedudukan Sarawak dan Sabah adalah sebagai rakan sekutu yang mempunyai kedudukan dan taraf sama dengan entiti wilayah Semenanjung dan Singapura, bukannya bertaraf negeri.

Kedudukan itu, katanya, termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun apabila ia dipinda pada 1976, taraf Sarawak dan Sabah diturunkan, sebaris dengan negeri di wilayah Semenanjung.

“Penurunan taraf itu sekali gus memberi implikasi besar dari segi politik dan peruntukan untuk pembangunan bagi Sarawak dan Sabah.

“Kini, kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat di Sarawak dan Sabah menyebabkan mereka mahu hak yang terhakis dikembalikan sesuai dengan semangat dan tujuan asal pembentukan Malaysia,” katanya.

Justeru, katanya, kini tiba masanya hak dan kuasa autonomi sebagai rakan sekutu seperti yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan demi kestabilan politik dan integrasi nasional.

“Semua janji termasuk jumlah peruntukan pembangunan seperti termaktub dalam MA63 perlu dilaksanakan bagi mengelak rasa kecewa rakyat kerana tanpa Sarawak dan Sabah tidak akan ada Malaysia.

“Aspirasi dan janji pemimpin Persekutuan Tanah Melayu kepada pengasas dan pejuang Sabah dan Sarawak perlu dipenuhi,” katanya.

Bagi penganalisis politik dan ahli akademik, Profesor Fadzil Abdul Rahman, keputusan mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu seiring dengan kesepakatan dan semangat awal yang dipersetujui dalam MA63.

Beliau berkata, ia pasti memberikan keyakinan kepada pemimpin tempatan malah seluruh rakyat Sabah dan Sarawak bahawa Kerajaan Persekutuan benar benar mengotakan janji.

“Keputusan itu juga akan meyakinkan rakyat bahawa Kerajaan Persekutuan ingin memenuhi aspirasi serta dilihat sebagai sebuah kerajaan yang mendengar tuntutan yang dibuat sejak sekian lama oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

“Pelbagai kekalutan dan isu dibangkitkan terutamanya menyentuh hak dan perjanjian yang termeterai dan termaktub antara perkara yang jika tidak ditangani dengan bijak boleh mencetuskan suasana yang tidak kondusif kepada negara,” katanya.

Katanya, pengembalian status rakan sekutu juga dijangka membolehkan Sarawak dan Sabah mendapatkan semula hak mereka mengikut persetujuan dalam MA63 terutamanya ketika isu Akta Pembangunan Petroleum (PDA 74) dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) masih berlarutan.

Berita Harian X