Selasa, 18 September 2018 | 10:15pm
TEO Nie Ching
TEO Nie Ching

Sedia pindah calon UPSR

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bersedia memindahkan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekiranya berlaku bencana alam seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi penyelamat berkaitan bagi menghadapi kemungkinan sekiranya berlaku bencana alam dalam masa terdekat.

“Seramai 440,743 murid di seluruh negara termasuk calon swasta akan menghadapi UPSR pada 20 hingga 27 September ini.

“Kita mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) supaya bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk bencana alam ketika musim peperiksaan.

“Jadi, kita sudah pun mengenal pasti kawasan yang boleh menempatkan calon supaya peperiksaan dapat dijalankan pada waktu yang ditetapkan,” katanya pada sidang media pada Simposium Kebangsaan Pengurusan Pendidikan di Hotel Residensi Scolar, di sini, hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri 275 pengetua dari seluruh negara bagi membincangkan elemen memperkasakan kepemimpinan pengetua di Malaysia.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata pihaknya memandang serius keselamatan bukan saja calon UPSR, malah bagi calon peperiksaan lain yang tertakluk di bawah LPM.

Hujan lebat berserta angin kencang yang melanda hampir sejam di kebanyakan kawasan di Perlis menyebabkan mercu tanda dan beberapa pokok besar tumbang, malam tadi.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Jalan Kangar-Arau (Repoh), Jalan Datuk Ali (Kayang), Jalan Repoh-Santan (Santan), Jalan Mata Ayer-Gial (Mata Ayer) dan sekitar Padang Siding berikutan pokok tumbang menghalang lalu lintas.

Sebelum ini, Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata garis badai yang merupakan keadaan di mana jajaran awan ribut petir berada dalam satu garisan berlaku apabila angin kencang dari Laut Andaman bertembung dengan angin perlahan di utara Selat Melaka.

Katanya, awan ribut petir yang terbentuk itu bergerak laju dari laut ke darat dan kebiasaannya ia berlaku di Selat Melaka serta di pantai barat Sabah pada waktu ini dan dijangka berakhir sama ada akhir bulan ini atau bulan depan.

Berita Harian X