Selasa, 18 September 2018 | 10:27pm

Allianz Malaysia sedia pas lawatan percuma


Allianz Malaysia meraikan Hari Malaysia dengan membawa kakitangannya melawat Tugu Negara.

KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menyambut Hari Malaysia dengan menawarkan pas lawatan mengunjungi lokasi bersejarah di ibu kota dalam masa enam jam kepada kakitangannya yang bertuah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakri Khir, berkata kakitangan perlu menyertai peraduan ‘Kenali Negara Dengan Baik’ untuk melayakkan mereka memenangi pas lawatan ke lokasi seperti Parlimen, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka.

“Hari Malaysia (16 September) sangat istimewa bagi kami. Syarikat menawarkan kejutan kali ini melalui lawatan Hop-On Hop-Off (HOHO) yang membawa kakitangan Allianz Malaysia mengenali lokasi sejarah yang banyak di sekeliling kita dan menjadi sebahagian daripada kehidupan di kota.


ALLIANZ Malaysia meraikan Hari Malaysia dengan membawa kakitangannya melawat Tugu Negara.

“Keindahan di sebalik menyambut hari bersejarah adalah walau di mana rakan sekerja berada, di Pulau Pinang atau dalam perjalanan ke Kota Kinabalu, walau apa warna kulit kita, pegangan agama atau di mana kita berada, di hati satu bangsa dan satu negara. Kita rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Zakri berkata kakitangan syarikat itu turut menyertai aktiviti ‘Sayangi Malaysiaku’ yang membabitkan pertandingan mereka serta melukis dan kakitangan turut menerima beg hadiah mengandungi makanan ringan.

Katanya, syarikat bekerjasama bersama syarikat pengusaha media sosial, Projek57 melancarkan kempen riben #AllianzbersatuteguhUnity.

“Kakitangan digalakkan untuk mengambil gambar mereka memakai riben penyatuan untuk menunjukkan tanda solidariti dan kepelbagaian di Allianz Malaysia,” katanya.

Berita Harian X