Khamis, 20 September 2018 | 6:17pm
MOHAMAD Sabu bergambar dengan delegasi Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) diketuai presidennya, Datuk Zaini Hassan yang mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Mat Sabu kagum jasa UiTM

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memuji sumbangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sehingga berjaya melahirkan alumni berketerampilan dan berjaya.

Beliau yang juga bekas pelajar Institut Teknologi MARA (ITM) 1974 berkata, malah pada masa itu walaupun ada antara pelajarnya tidak tamat belajar, mereka akhirnya akan berjaya dalam kerjaya masing-masing.

“Saya amat kagum dengan pemimpin terdahulu mewujudkan ITM dan UiTM sehingga melahirkan begitu banyak alumni yang berjaya di negara ini,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) di kementeriannya, hari ini.

Kunjungan seramai 15 anggota itu diketuai oleh Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan.

Mohamad juga memuji Pengetua ITM ketika itu, Tan Sri Arshad Ayub yang bertindak sebagai seorang ayah terhadap pelajarnya.

“Saya sendiri pernah ditahan dalam lokap di Klang ketika demonstrasi pelajar pada tahun 1974, tetapi saya dijamin keluar oleh ITM.

“Selepas dibebaskan, Pak Arshad Ayub memanggil saya ke pejabatnya. Saya menggigil kerana ingat akan dimarahi, tetapi sebaliknya saya dinasihati bagaikan seorang anak,” katanya yang ketika itu mengikuti pengajian dalam bidang teknologi makanan.

Dalam twitter Mohamad Sabu, beliau menulis “Bertemu dengan Dato’ Mohd Zaini Hassan, Presiden Persatuan Alumni UiTM dan rakan-rakan. Terkenang semasa lalu saya semasa menjadi penuntut UiTM. Terima kasih atas kunjungan”.

Delegasi sama sebelum ini mengunjungi ke pejabat Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan timbalannya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Zaini dalam kunjungan itu turut menerangkan mengenai fungsi PAUiTM dan yayasan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) yang digerakkan oleh alumni universiti itu.

Berita Harian X