Jumaat, 5 Oktober 2018 | 6:16pm
KAMAL Khalid (tiga dari kanan) melayan pelanggan ketika program 'Hari McD Turun Padang' di McDonald's Mutiara Damansara. - Foto Salhani Ibrahim

Pengurusan MPB 'tukar kerjaya' jadi kru McDonald's

PETALING JAYA: Pengurusan Media Prima Berhad (MPB) hari ini lari daripada dunia korporat buat seketika apabila ‘bertukar kerjaya’ menjadi kru restoran makanan segera McDonald’s sempena program Hari McD Turun Padang.

Antara yang menyertai program itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar; Pengarah Jualan dan Strategi Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Nini Yusof serta personaliti TV3, Farah Nabila.

Mereka menyertai program berkenaan secara sukarela untuk belajar dan terbabit secara langsung menyediakan menu serta melayan pelanggan McDonald’s, bersama kru restoran itu.

Antara yang mencuri tumpuan ketika program itu adalah melihat bagaimana Kamal menyediakan kopi daripada dapur McCafe kepada pelanggan, manakala Ahmad Izham pula meluangkan masa hampir sejam memasak dan menyediakan kentang goreng.

Kamal berkata, pengalaman menyertai program berkenaan amat berharga baginya yang pertama kali bekerja di belakang kaunter.


KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar (lima dari kiri) dan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar (tiga dari kiri) bersama kakitangan McDonald's Mutiara Damansara ketika program 'Hari McD Turun Padang' di McDonald's Mutiara Damansara. - Foto Salhani Ibrahim

“Saya dapat memahami tekanan serta perasaan mereka yang bekerja di belakang kaunter untuk melayan pelbagai permintaan pelanggan, dan menyedari betapa susahnya kerja ini.

“Peluang ini diberikan McDonald’s Malaysia selaku rakan niaga kami yang menjemput pengurusan MPB mengambil bahagian dan semua orang perlu merasai pengalaman ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup,” katanya ketika ditemui di restoran McDonalds Mutiara Damansara di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai.

Ahmad Izham pula mengakui teruja melihat kaedah kru restoran McDonald’s bekerja yang sistematik dan disiplin, serta menitik beratkan kualiti, kepantasan dan kerjasama.

“Saya tak pernah bekerja di belakang kaunter. Memang teruja serta banyak perkara yang saya pelajari dan mungkin ada yang boleh dipraktikkan di pejabat kami,” katanya.

Sementara itu, Azmir berkata, kira-kira 300 kakitangan korporat, pembekal, vendor dan rakan niaga McDonald’s Malaysia menyertai program Hari McD Turun Padang yang diadakan serentak di 100 premis restoran itu di seluruh negara.

Katanya, program yang turut diadakan di 36,000 premis McDonald’s seluruh dunia itu, bertujuan untuk kakitangan korporat meraikan pekerja restoran makanan segera berkenaan.

“Program yang akan diadakan pada 5 Oktober setiap tahun ini, sebagai penghargaan kami kepada lebih 12,000 pekerja McDonald’s seluruh Malaysia yang bekerja lapan jam sehari, dengan 99 peratus daripada mereka adalah warga tempatan.

“Menerusi program ini, kami dapat memahami dan menyelami peranan dan pengalaman kru restoran serta mengetahui apakah keperluan mereka untuk melaksanakan tugas,” katanya.

40 dibaca
Berita Harian X