Sabtu, 6 Oktober 2018 | 9:17pm

Hassan sempat sujud syukur sebelum meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Permintaan terakhir tokoh agama Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari mahu membuat sujud syukur tertunai sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir petang tadi.

Anak ke-11 arwah, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, bapanya sempat menunaikan permintaan terakhir itu dengan bersujud kira-kira 15 minit pada Sabtu lalu, bersama-sama abangnya ketika berada di rumah.

“Arwah bapa cakap dia mahu sujud buat kali terakhir untuk meminta ampun dan menyatakan kesyukuran kerana dipanjangkan umur.

“Dia sujud selama 15 minit pada Sabtu lalu. Keesokan harinya, arwah langsung tidak boleh bercakap sebelum kami bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di Persiaran Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini, hari ini.

Mohd Zain yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) berkata, bapanya dirawat di HKL selama seminggu sejak Ahad lalu.

“Bapa meninggal dunia akibat kanser limfoma yang dikesan sejak akhir Ogos lalu.

“Akhir Ogos lalu bapa demam dan selepas pemeriksaan dilakukan, bapa didapati mempunyai kanser limfoma tahap empat.

DATUK Mohd Zain Hassan melihat jenazah ayahnya yang juga bekas hakim Pertandingan Tilawah al-Quran Tan Sri Hassan Azhari, di kediamannya, Jalan Persiaran Keramat Hujong. - Foto Rosdan Wahid
DATUK Mohd Zain Hassan melihat jenazah ayahnya yang juga bekas hakim Pertandingan Tilawah al-Quran Tan Sri Hassan Azhari, di kediamannya, Jalan Persiaran Keramat Hujong. - Foto Rosdan Wahid

“Kami bergilir-gilir menjaganya sejak dia demam sebelum dibawa ke HKL Ahad lalu, namun tahap kesihatannya mulai menurun sejak pagi tadi sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang tadi,” katanya.

Beliau berkata, jenazah bapanya akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, kira-kira pukul 9 pagi esok sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, di Persiaran Kayangan, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor.

Kaum keluarga dan rakan Allahyarham mula memenuhi kediamannya di sini, sejak jam 7 petang tadi untuk menziarahi jenazahnya.

ALLAHYARHAM Tan Sri Hassan Azhari terima Anugerah Khas Maal Hijrah 1434 pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan, pada November 2012. - Arkib NSTP
ALLAHYARHAM Tan Sri Hassan Azhari terima Anugerah Khas Maal Hijrah 1434 pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan, pada November 2012. - Arkib NSTP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X