Isnin, 8 Oktober 2018 | 3:02pm
Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

25,000 pesakit masih tunggu pemindahan buah pinggang

JOHOR BAHRU: Kira-kira 25,000 pesakit buah pinggang sedang menunggu pemindahan buah pinggang di Malaysia, sedangkan jumlah penderma organ yang bersedia untuk proses pemindahan sangat kecil.

Ketua Penyelaras Perolehan Organ dan Tisu, Pusat Sumber Transplan Negara, Dr Omar Sulaiman, berkata secara purata, hanya antara 30 dan 40 buah pinggang saja yang ada untuk transplan setiap tahun.

“Jumlah pesakit buah pinggang di Malaysia meningkat sekitar 1,000 orang setiap tahun. Sebab itu, pilihan terbaik untuk pesakit buah pinggang adalah memaklumkan kepada keluarga masing-masing untuk melakukan pendermaan organ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2018 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (Perubatan), Dr Izam Suleiman, yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal dan Pengarah HSA, Dr Musa Rabu.

Dr Omar berkata bilangan pengikrar penderma organ di Malaysia masih rendah dan sehingga Ogos lalu, seramai 424,143 rakyat Malaysia berikrar untuk menjadi penderma organ.

“Ini hanya lebih satu peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia, yang berikrar untuk menjadi penderma organ.

“Tidak semestinya mereka yang berdaftar sebagai pengikrar penderna organ akan mendermakan organ mereka kerana kami masih memerlukan persetujuan dari ahli keluarga.

“Sebab itulah, jika anda sudah berikrar menjadi penderma organ, anda tidak boleh menyembunyikan fakta dari keluarga anda supaya mereka menghormati niat anda itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Izam menggesa hospital swasta di Johor untuk menyelaraskan dengan Pusat Sumber Pemindahan HSA jika mana-mana pesakit mahu menyumbangkan organ mereka.

“Apabila sebuah hospital swasta memaklumkan mengenai pendermaan organ, satu pasukan dari pusat itu akan pergi ke hospital untuk melakukan prosedur yang diperlukan di sana,” katanya.

Katanya, khidmat itu adalah percuma, yang bermaksud bahawa keluarga terdekat pesakit tidak akan akan dikenakan bayaran oleh hospital swasta untuk prosedur itu.

“Setakat ini, tiga hospital swasta di Johor sudah bersetuju untuk menyelaraskan pusat itu iaitu Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Pakar Regency dan Hospital Gleneagles Medini. Kami mahu semua 13 hospital swasta di Johor melakukan perkara yang sama,” katanya.

Berita Harian X