Selasa, 16 Oktober 2018 | 3:07pm

SK Ladang Pendas terima Wakaf BH-Forest City

ISKANDAR PUTERI: Program sumbangan Wakaf BH-Forest City diteruskan pada tahun ini dan hari ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Pendas menerima sebuah wakaf sebagai satu program kemasyarakatan pendidikan untuk komuniti setempat.

Majlis penyerahan disempurnakan Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Syarul Izam Sarifudin.

Lebih menarik, SK Ladang Pendas adalah satu-satunya sekolah yang menempatkan kanak-kanak Orang Asli dari kawasan sekitar terbabit menerusi program sumbangan Wakaf BH-Forest City.

Ahmad Zaini berkata, Wakaf BH-Forest City adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan CGPV, pemaju projek Forest City.

Katanya, program yang bermula tahun lalu itu diadakan bersempena ulang tahun ke-60 BH dan sebanyak tujuh sekolah secara keseluruhan terbabit menerusi program berkenaan yang mana lima sudah disempurnakan penyerahannya.

Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (kanan) menerima hadiah cenderahati daripada Guru Besar SK Ladang Pendas, Johari Shuhadak (kiri) dan diperhatikan Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacific View Sdn Bhd (CGPV) Syarul Izam Sarifudin, ketika program sempena projek usahasama Berita Harian bersama pemaju Country Garden Pacific View, ketika majlis penajaan sebuah wakaf gazebo di SK Ladang pendas di Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

“Tahun ini, program sumbangan dua lagi sekolah diteruskan dan hari ini, SK Ladang Pendas menerima sebuah wakaf bagi dimanfaatkan 80 murid di sekolah ini.

“Selain sumbangan wakaf, Forest City menaja pelbagai aktiviti pendidikan anjuran BH dan New Straits Times (NST), antaranya penganjuran seminar bimbingan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Didik dan bengkel UPSR NST,” katanya.

Sementara itu, Syarul Izam berkata, penyerahan sumbangan wakaf pada hari ini adalah sebagai simbolik kerjasama BH dan Forest City bagi kepentingan masyarakat sekitar yang terbabit dalam kawasan pembangunan projek.

“Kami harap murid dan pelajar dari sekolah yang mendapat sumbangan wakaf ini dapat memanfaatkan kemudahan ini dan gunakan ia sebagai ruang bacaan tambahan bagi mengulang kaji pelajaran di dalam kawasan sekolah.

“Program ini membabitkan semua sekolah angkat kami iaitu enam SK dan sebuah sekolah menengah. Kita harap kerjasama ini tidak berakhir di sini dalam memastikan kesinambungan pembangunan komuniti kawasan ini,” katanya.

Bagi Guru Besar SK Ladang Pendas, Johari Shuhadak, pihaknya berterima kasih dengan sumbangan wakaf yang diterima pada hari ini.

“Walaupun sekolah kami kecil dengan 80 pelajar, kami amat berbesar hati menerima kunjungan pihak BH dan Forest City, tambahan lagi sumbangan wakaf yang diserahkan.

“Pihak sekolah bercadang menganjurkan program bacaan bagi menghidupkan dan memanfaatkan sumbangan wakaf ini,” katanya.

Murid Tahun 6, Isaac Tang Ah Liak, 12, berkata sumbangan wakaf itu membolehkan dia dan rakannya mendapat ruang bacaan baharu yang lebih selesa dan santai.

“Selepas ini, kami boleh menggunakan kemudahan wakaf ini sebagai tempat membaca dan ulang kaji pada waktu rehat atau selepas tempoh persekolahan,” katanya.

Nur Syarini Roki, 12, pula berkata selain menjadi ruang bacaan baharu kepada murid, kewujudan wakaf yang cantik di kawasan sekolah itu menambah lagi keceriaan kawasan pekarangan.

Lima sekolah yang terbabit dalam program Wakaf BH-Forest City pada tahun lalu ialah SK Tiram Duku, SK Tanjung Adang, SK Murni Pok, SK Tanjung Kupang dan SK Pendas Laut.

Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (empat dari kanan) memotong riben sebagai simbolik penajaan sebuah wakaf gazebo di SK Ladang Pendas,di Gelang Patah, sempena projek usahasama Berita Harian bersama pemaju Country Garden Pacific View dan bersama Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacific View Sdn Bhd (CGPV) Syarul Izam Sarifudin (empat dari kiri) dan Guru Besar SK Ladang Pendas, Johari Shuhadak (tengah) di Sekolah Kebangsaan Tanjung Adang di SK Ladang pendas di Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Berita Harian X