Selasa, 16 Oktober 2018 | 4:01pm
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. - Foto Asyraf Hamzah

Maszlee persoal pihak sensasi isu remeh

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mempersoalkan keprihatinan sesetengah pihak terhadap kenyataannya berhubung isu remeh berbanding perkara lebih penting yang dibangkitkan.

Walaupun tidak mengatakan secara khusus, beliau jelas merujuk laporan media berhubung langkah Kementerian Pendidikan yang kini sedang mengkaji warna stokin pelajar sekolah.

“Saya cakap perkara trivial (remeh) kurang satu minit ia dilaporkan dalam media dan Datuk Seri Najib Razak pun berminat.

“Apabila saya bincang perkara penting mengenai hospital universiti, tak ada yang nak sensasikan?” soalnya di Facebook hari ini.

Menurut laporan sebuah akhbar semalam yang kemudiannya dipetik media lain - Maszlee dalam sidang media selepas program lawatan ke Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, isu warna stokin akan diputuskan selepas perbincangan dengan pelbagai pihak selesai.

Beliau menjawab pertanyaan Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin, sama ada warna stokin juga akan ditukar selaras penguatkuasaan pemakaian kasut hitam.

Ia menyebabkan Maszlee dihujani kritikan dan sindiran oleh pengguna media sosial yang rata-rata menyifatkannya mengutamakan perkara remeh berbanding isu pendidikan yang lebih utama.

Malah Najib menerusi entri di Facebook menyindir Maszlee sebagai seorang menteri yang berpandangan jauh.

“Warna kasut dan stokin sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna. Seterusnya, diharapkan menteri akan kaji warna baju dan warna bangunan sekolah juga,” kata Najib.

Maszlee berkata, sesetengah isu yang dilihat remeh mungkin dianggap penting oleh pihak lain dan beliau menghargai semua pandangan yang diberikan.

“Keprihatinan semua termasuk ibu bapa, industri dan semua pemegang taruh akan dipertimbangkan dengan baik,” katanya.

Berita Harian X