Selasa, 16 Oktober 2018 | 9:26pm

Eksklusif: Nasib bekas pelajar Sekolah Sukan - Kurang tempat sambung pengajian

KUALA LUMPUR: Selain mengikuti pengajian di peringkat universiti awam dalam bidang Sains Sukan dan Pengurusan Sukan, tiada laluan 'ekstra' dalam sistem pendidikan sukan negara yang akhirnya menyaksikan kebanyakan alumni Sekolah Sukan Malaysia (SSM) atau Sekolah Sukan Negeri (SSN) terbiar tanpa pembelaan.

Berdasarkan statistik, lapan Universiti tempatan membabitkan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hanya mampu mengambil hampir 1,000 pelajar setiap tahun.

Ternyata nisbah itu terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan 20 sekolah SSM dan SSN yang dianggarkan akan melahirkan ribuan pelajar saban tahun daripada sistem itu.

Justeru, tidak hairan mengapa wujudnya dakwaan ramai yang pelajar kita hilang arah selepas keluar daripada sekolah sukan dengan peratusan mereka yang gagal jauh lebih tinggi berbanding yang berjaya.

Kegagalan mereka untuk pergi jauh dan bergelar pemain kebangsaan serta ketidakmampuan menyambung pelajaran dalam akademik pula meletakkan mereka di persimpangan kerana tidak tahu hala tuju mana yang harus diambil.

Mungkin sudah tiba masanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan program baharu berkaitan kursus kemahiran atau vokasional bagi meningkatkan nilai tambah seseorang pelajar itu selain membuka peluang pekerjaan yang lebih selesa buat mereka jika gagal menyerlah dalam bidang sukan.  

Memperkasakan pendidikan

Malaysia ketika ini, dilihat masih kekurangan dari segi nilai tambah itu, namun di negara maju seperti di Eropah dan Amerika Syarikat, mereka sudah lama memperkasakan sistem pendidikan sukan di negara masing-masing.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa menegaskan sebahagian besar daripada pelajar SSM dan SSN itu tidak akan berjaya dengan hanya 10 peratus dapat pergi jauh termasuk melangkah ke menara gading sekali gus terbabit dengan bidang sukan.

"Sebenarnya 90 peratus boleh dikatakan gagal melonjakkan potensi mereka atau menyambung pengajian di peringkat IPT (institut pengajian tinggi) dalam Sains Sukan, kejurulatihan mahupun pengurusan.

"Cuba bayangkan, bagaimana nasib pelajar ini. Sudahlah gagal dalam sukan diceburi dan untuk ke menara gading juga sukar kerana setiap institusi pengajian tinggi turut menuntut keputusan peperiksaan baik untuk menerima kemasukan mereka.

"Memang agak malang apabila pelajar ini yang menghabiskan tiga hingga lima tahun berlatih bagai nak 'gila' di sekolah sukan, tapi akhirnya gagal pergi jauh dan tidak dapat masuk universiti, jadi apa hala tuju mereka.

"Oleh sebab itu, saya rasakan sudah tiba masanya kerajaan memandang serius isu ini dengan membantu menyediakan platform kemahiran sebagai bekalan masa depan kepada mereka.

"Sekurang-kurangnya dengan adanya kemahiran, pelajar ini nanti dapat bekerja atau membuka perniagaan sendiri bagi menyara kehidupan mereka," katanya kepada Sukan NSTP.

Kelmarin, akhbar ini mendedahkan wujudnya kepincangan dan kelompongan besar khususnya dalam sistem pendidikan persekolahan sukan negara apabila sebahagian besar pelajar SSM dan SSN tercicir daripada arus pembangunan negara.

Ikuti laporan ketiga, esok

INFO: Sekolah Sukan Malaysia - Jenis Sukan Ditawarkan

  • SSBJ - Angkat Berat, Badminton, Bola Jaring, Bola Keranjang, Bola Sepak, Bola Tampar, Gimnastik Artistik, Gimrama, Hoki, Karate, Kriket, Lawan Pedang, Memanah, Menembak, Olahraga, Pingpong, Renang, Renang Berirama, Taekwando, Tenis, Terjun, Tinju, Sepak Takraw, Skuasy, Wushu.
  • SSTMI - Bola Jaring, Bola Sepak, Bola Tampar, Boling, Boling padang, Gimnastik Artistik, Hoki, Judo, Lawan pedang, Lumba Basikal, Olahraga, Ragbi, Renang, Terjun, Sepak Takraw.
  • SSMP - Bola Keranjang, Bola Sepak, Gimnastik Artistik, Memanah, Olahraga.
  • SSMS - Hoki, Terjun, Renang, Olahraga, Bola Sepak, Memanah, Angkat Berat.
  • SSMT - Angkat Berat, Boling Padang, Judo, Lawan Pedang, Lumba Basikal, Olahraga, Sepak Takraw, Silat Olahraga.
  •  

    Sukan Sekolah Negeri - Jenis Sukan ditawarkan

  • SMK Syed Hassan (Perlis) - Badminton, Basikal, Bola Jaring, Bola Sepak, Boling Padang, Boling, Hoki, Olahraga, Perahu Layar, Sepak Takraw, Skuasy, Tenis.
  • SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (Kedah) - Bola Jaring, Bola Sepak, Olahraga, Sepak Takraw, Hoki, Memanah.
  • SMK Mutiara Impian (Pulau Pinang) - Bola jaring, Bola Sepak, Olahraga, Sepak Takraw, Hoki, Badminton.
  • SMK Gunung Rapat (Perak) - Bola Jaring, Bola Sepak, Boling, Catur, Ekuestrian, Gimrama, Golf, Hoki, Olahraga, Renang, Sepak Takraw, Wushu.
  • SMK Seksyen 11 (Selangor) - Badminton, Basikal, Bola Jaring, Bola Sepak, Gimnastik, Golf, Hoki, Memanah, Renang, Olahraga, Sepak Takraw.
  • SMK Seri Titiwangsa (Kuala Lumpur) - Bola Baling, Bola Jaring, Bola Sepak, Hoki, Olahraga, Sepak Takraw, Taekwondo, Tinju, Silat.
  • SMK Za’aba (Negeri Sembilan) - Bola Jaring, Bola Sepak, Hoki, Menembak, Memanah, Olahraga, Ragbi, Sepak Takraw.
  • SMK Seri Kota (Melaka) - Badminton, Bola Jaring, Bola Sepak, Hoki, Memanah, Olahraga, Sepak Takraw.
  • SMK Tun Hussein Onn (Johor) - Bola Jaring, Bola Sepak, Hoki, Memanah, Olahraga, Sepak Takraw.
  • SMK Seberang Temerloh (Pahang) - Bola Jaring, Bola Sepak, Hoki, Memanah, Olahraga, Sepak Takraw.
  • SMK Bukit Nenas (Terengganu) - Badminton , Bola Baling, Bola Jaring, Bola Sepak, Bola Tampar, Hoki, Memanah, Olahraga, Pingpong, Sepak Takraw.
  • SMK Putera (Kelantan) - Bola Jaring, Bola Sepak, Boling, Gimnastik, Golf, Hoki, Memanah, Olahraga, Sepak Takraw, Tenis.
  • SMK Datuk Peter Mojutin (Sabah) - Bola Jaring, Bola Sepak, Hoki, Memanah, Olahraga, Sepak Takraw.
  • SMK Mutiara (WP Labuan) - Angkat Berat, Badminton, Bola Baling, Bola Jaring, Bola Keranjang, Bola Sepak, Bola Tampar, Boling Tenpin, Catur, Golf, Olahraga, Ragbi, Renang, Sepak Takraw, Tenis, Terjun.
  • SMK Tabuan Jaya (Sarawak) - Bola Jaring, Bola Sepak, Olahraga, Sepak Takraw, Tenis, Terjun.
  • Ibu bapa lahir kebimbangan masa depan anak

    KUALA LUMPUR: Hala tuju pelajar sekolah sukan yang dilihat tidak menentu khususnya bagi kelompok yang gagal menempatkan diri dalam bidang diceburi nyata menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa.

    Walaupun pada awalnya mereka menyertai sekolah sukan dengan berbekalkan matlamat kerjaya bergelar pemain kebangsaan dan mewakili negara pada masa akan datang, kegagalan merealisasikan cita-cita berkenaan menyebabkan mereka akhirnya terpaksa melakukan kerja yang tiada kaitan dengan impian itu.

    Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Titiwangsa, Mohd Zaki Ahmad mengakui situasi itu sememangnya berlaku dalam arena sukan tempatan sekali gus turut menyemat kerisauan dalam kalangan ibu bapa pelajar.

    “Tugas kami memang menyediakan aset itu untuk masa depan tapi kita tidak tahu ke mana hala tuju mereka (pelajar). Kapasiti sekolah adalah hanya sebagai pusat untuk melahirkan ramai pemain berkualiti dan sepatutnya itulah yang berlaku.

    “Tapi hakikatnya, saya kira mungkin hanya ada dua atau tiga sahaja yang akan berjaya pergi lebih jauh berbanding rakan mereka.

    “Jadi, kegusaran yang saya maksudkan di sini adalah ke mana hala tuju kebanyakan daripada mereka dan apa nasib kelompok pemain yang tidak berjaya ini kerana mereka sebelum ini menyerahkan segala-galanya untuk menjadi pemain negara.

    “Begitupun, kesungguhan terhadap latihan dengan sanggup berhujan berpanas bagaikan tidak berbaloi sehingga tumpuan mereka kepada pelajaran pula yang terjejas. Itu yang menimbulkan kegusaran ibu bapa dan menjadi topik utama mereka apabila berjumpa saya.

    "Tapi, sebahagian besar daripada mereka memang tidak akan dapat mengapai impian itu (menjadi pemain kebangsaan). Bukan mahu menafikannya tapi itulah hakikat sebenarnya,” katanya.

    Justeru, Mohd Zaki menegaskan perlunya ada satu mekanisme yang dirasakan sesuai sebagai jalan keluar bagi membantu kelompok pemain ini berada di landasan betul sekali gus tidak mensia-siakan potensi dimiliki.

    “Kita perlukan bantuan pelbagai pihak untuk membantu bagi memastikan masa depan anak-anak kita yang terbabit dengan sukan, terus terjamin sekalipun jika gagal bergelar pemain negara.

    “Ini penting kerana kita tidak mahu bakat dimiliki itu tidak dapat digunakan untuk membantu perkembangan sukan di negara ini,” katanya.

     

    Sekolah Sukan Bukit Jalil
    Sekolah Sukan Bukit Jalil
    Berita Harian X