Rabu, 17 Oktober 2018 | 6:58pm
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Hukuman lebih berat eksploitasi kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Majikan yang menggaji kanak-kanak di bawah usia 15 tahun berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau maksimum lima tahun bagi kesalahan berulang mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2018.

Hukuman itu antara pindaan dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966 atau Akta 350 yang diluluskan sebulat suara selepas dibahas 19 ahli Parlimen dan dibacakan kali ketiga di Dewan Rakyat hari ini.

Selain hukuman penjara, denda juga dinaikkan daripada tidak melebihi RM5,000 kepada tidak melebihi RM50,000 dan jika kesalahan itu diulang, boleh didenda tidak melebihi RM100,000.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata akta itu dipinda bagi melindungi kanak-kanak dan orang muda daripada dieksploitasi dan didiskriminasi pihak tertentu.

“Hukuman penjara dinaikkan daripada tidak melebihi setahun kepada tidak melebihi dua tahun manakala bagi kesalahan berulang, hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun kepada tidak melebihi lima tahun.

“Bagaimanapun Akta 350 hanya terpakai di Semenanjung dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

“Bagi Sabah dan Sarawak, peruntukan seumpama Akta 350 ini diperuntukkan dalam Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab76) yang masing-masing dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, pindaan akta itu menetapkan kanak-kanak dan orang muda tidak dibenarkan melakukan kerja merbahaya seperti mengendali jentera selain dilindungi daripada terdedah kepada bahan kimia berbahaya, berdebu, suhu melampau dan bunyi bising.

Pindaan itu turut menyatakan kanak-kanak berusia 15 tahun tetapi di bawah 18 tahun dikategorikan sebagai orang muda.

“Majikan juga tidak dibenarkan menggaji kanak-kanak dan orang muda untuk menjual alkohol, pekerjaan berkaitan perjudian dan loteri, perkhidmatan urut dan refleksologi, pelacuran atau mengambil mereka sebagai pengiring sosial,” katanya.

Berita Harian X